Followers

Novel: Mencari Orion : Bab 1

| Wednesday 19 September 2012 | |


Teman atau lawan?
“Awin, bagun. Nanti kamu lewat!” Jeritan nyaring Nawal bergema di dalam lot nombor 5-1A di Kondominium Casa Mila itu. Awin mengosok telinga yang bingit mendengar jeritan mamanya itu. Rumah mereka tidaklah sebesar mana tetapi mamanya lebih gemar menjerit mengejutkan dia setiap pagi sedangkan dia boleh sahaja mengetuk pintu bilik Awin yang kedudukannya hanya beberapa langkah dari dapur, tempat mamanya akan berada setiap pagi.
            “Nazuwin Akmal! Bangun cepat!” Jerit mamanya sekali lagi.
            “Ya, ma. Awin dah bangun,” balas Awin kuat. Sengaja dia membuka dan menutup pintu almarinya kuat-kuat, sebagai tanda kononnya dia sudah mencapai tualanya dari dalam almari. Sedangkan hakikat sebenarnya sudah lama dia terjaga atau lebih tepat lagi dia tidak tidur langsung sejak malam tadi.
            Awin merenung wajahnya di hadapan cermin. Di sebalik kaca mata bingkai hitamnya, matanya kelihatan tidak bermaya. Ada gelung hitam berlingkar di bawah pelupuk mata. Wajahnya yang memang tidak secantik mana rupa parasnya pun nampak semakin teruk kerana tidak cukup tidur. Nasibnya baik sedikit kerana tidak mengalami sakit kepala seperti yang dialami Ben, kawan baiknya jika lelaki itu tidak cukup tidur.
            Awin mengeluh kuat. Semenjak seminggu dua ini, entah kenapa dia takut mahu melelapkan mata. Bukannya dia tidak mengantuk tetapi bila mengenangkan mimpi buruk yang sering menganggunya kebelakangan ini, dia menahan dirinya dari tidur. Dua minggu lalu dia mula bermimpi ada orang datang mahu menangkap dirinya. Kemudian diikuti dengan mimpi dia berada di medan perang. Dan dua tiga hari ini mimpinya mula diganggun dengan bayangan orang – orang asing yang seolah-olah berniat jahat dengannya.
             Awin mencapai bedak kompak di atas meja lalu dipupuk di bawah mata, cuba mengurangkan kesan hitam di bawahnya. Walaupun kesannya hanya sementara, sekurang-kurangnya dia dapat mengelakkan dari mamanya bertanya panjang. Setelah yakin gelung hitam itu tidak begitu ketara kelihatan. Awin mencapai beg galasnya lalu keluar dari bilik.
            “Amboi, kamu tak mandi ke Awin? Terus pakai baju sekolah?” Tegur Nawal sebaik sahaja punggung Awin mencecah kerusi di meja makan. Belum sempat Awin mahu membuka mulut, satu suara lelaki menjawab bagi pihaknya.
            “Dia dah bangun pukul 5.30 pagi tadilah, mama.”
            Awin menoleh ke arahnya abangnya yang baru keluar dari bilik. Lengkap dengan overall yang tertera perkataan Crystal Auto, Remy mendekati mamanya lalu dikucup pipi wanita berusia 45 tahun itu, rutin yang dilakukannya setiap pagi.
            “Awalnya kamu bangun? Kamu mimpi apa malam tadi?” Soal Nawal lagi. Matanya mencerun memandang Awin yang berpura-pura asyik membaca surat khabar di atas meja.
            “Mimpi putera raja datang meminang, ma.” Balas Awin bersahaja. Dan mimpi kena kejar dengan orang jahat, tambah Awin di dalam hati.
            Nawal ketawa mengekeh. “Kalau mama mimpi macam itu, lagi lambat mama bangun tidur.”
            “Amboi, Puan Nawal. Ada keinginan rupanya, ya?” Sergah ayah Awin, Akmal yang tiba-tiba muncul di ruang makan itu.
“Sesekali bermimpi, apa salahnya Encik Akmal,” jawab Nawal bersahaja. Suasana menjadi riuh bila mama dan ayahnya saling bergurau tentang putera raja masuk meminang.
            Awin hanya tersenyum kecil melihat gelagat kedua orang tuanya. Walaupun sudah berusia, hubungan mereka masih lagi mesra laksana pasangan baru berkahwin. Kadang-kadang Awin sendiri naik segan bila terserempak dengan kemesraan mereka. Namun jauh disudut hatinya dia bersyukur kerana dikurniakan ayah dan mama seperti Akmal dan Nawal.
            “Hei, cik adik! Senyum sorang-sorang ni kenapa?” Tegur Remy sambil menggosok kepala Awin hingga rambut gadis itu kusut sedikit. Kerusi di sebelah Awin di tarik sebelum dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
            “Abang ni, janganlah kusutkan rambut Awin. Penat dah Awin dandan tadi tau!” Marah Awin sambil membetulkan rambutnya. Remy hanya ketawa kecil. Pipi Awin yang sedikit berisi itu dicubit lembut.
            “Abang suruh potong rambut pendek, awak tak nak. Kan senang, tak perlu nak susah-susah dandan,” usik Remy lagi seraya menarik ikatan tocang Awin.
            “Abang!” Awin menepis tangan Remy lembut. Muncungnya mula ditarik sedepa.
            “Ala, merajuklah tu, Tak perlu nak merajuklah dik. Buruk rupa awak tahu?” Giat Remy lagi.
            Awin menjeling abangnya tajam. Mulutnya dikunci rapat, malas mahu membalas usikan Remy. Kalau dilayan,makin menjadi-jadi usikan abangnya itu.
            “Awin?” Lembut abangnya menyeru namanya. “Marah abang ke?”
            “Tak kuasa, Awin! Marah pun abang buat juga lagi,” bentak Awin. Remy hanya ketawa mengekek sambil tangannya mencedok mee goreng di atas meja. Laju sahaja Remy menyuap mee goreng yang hampir sejuk itu ke dalam mulut. Mellihat Remy yang berselera benar menjamu sarapan pagi, tiba-tiba perut Awin terasa lapar. Dengan garfu di tangan dia menyudu mee goreng di dalam pinggannya. Namun baru sahaja satu suap, perutnya sudah terasa sebu. Akibat tidak cukup tidur, selera makannya turut terjejas. Awin mengeluh sendiri.
            “Kenapa Awin ni? Depan rezeki tak baik mengeluh.” Tegur Remy. “Awak ada masalah ke?” Tanya Remy lagi.
            Awin hanya menggeleng.
            “Habis tu, awak tak sihat?” Remy meletakkan belakang tangannya ke dahi Awin. “Normal aja,” ngomel Remy.
            “Orang tak cukup tidur,” balas Awin perlahan, bimbang didengari oleh mama dan ayahnya. Matanya menjeling sedikit ke arah mereka yang masih berbual di tepi sinki.
            “Mimpi lagi?” Keras suara Remy bertanya. Awin hanya mengangguk. Sejak dia mula mengalami gangguan tidur itu, hanya pada Remy dan Ben sahaja dia mengadu. Dan seperti ada persefahaman, abangnya itu tidak pula bercerita dengan mama dan ayahnya.
            “Orang tak laratlah macam ni, abang. Tiap-tiap malam baru saja mata ni nak terpejam, mulalah mimpi-mimpi tu datang mengacau. Apa orang nak buat ni?” Awin memandang ke arah Remy. Dahinya sedikit berkerut bila melihat wajah abangnya yang tegang. Kulit muka abangnya yang putih bersih kelihatan merah seperti orang sedang menahan rasa. Aik, aku yang tak boleh tidur, dia yang marah semacam kenapa?
Tiba-tiba Remy menoleh ke arahnya. Renungan mata abangnya yang tajam membuatkan Awin tidak senang hati.
            “Awin, abang...” Apa pun yang mahu dikatakan Remy terhenti bila nada dering lagu Papercut dendangan Linkin Park kedengaran dari telefon bimbit Awin. Pantas Awin mencapai telefon di dalam kocek pakaian seragam sekolahnya. Melihat nama Ben tertera di skrin, mata Awin segera memandang ke arah jam di dinding.
            Tujuh lima belas! “Alamak, orang dah lambat!” Jeritnya seraya memasukkan telefon ke dalam poket bajunya. Tanpa berlengah dia segera mencapai beg galasnya dan meluru ke arah ayah dan mamanya. Tangan keduanya disalam dan dikucup. “Awin pergi dulu, mama, ayah.” Dia pantas berlari ke pintu.
            “Jalan baik-baik,” pesan ayahnya.
            Ketika dia menyarung kasut ke kaki, Remy menghampirinya. “Awin, abang nak cakap sesuatu ni.”
            “Orang dah lambatlah, abang. Malam nantilah, ya?” Ujar Awin sebelum berlari ke arah lif meninggalkan Remy dengan wajah yang penuh kesalan.
***
            Perjalanan ke sekolah yang hanya mengambil masa 10 minit lazimnya terasa begitu lama pagi ini. Sunyi sepi menyelubungi ruang kereta Kancil berwarna kuning milik ibu Ben itu. Selalunya sebaik sahaja Awin masuk ke dalam perut kereta, pasti mulut Ben tidak berhenti-henti bercakap. Tetapi hari ini, mulut kawan baiknya itu terkunci rapat. Mungkin kerana mereka sudah lama bersahabat, Ben sudah cukup maklum dengan perangainya. Melihat air mukanya yang keruh tadi sudah cukup untuk membuatkan lelaki berambut pendek itu mengunci mulut. Radio juga awal-awal lagi sudah dimatikan siarannya.
            Awin melemparkan pandangan ke luar. Beberapa orang remaja berpakaian sekolah sedang berjalan sambil bergelak ketawa di bahu jalan. Wajah mereka nampak ceria dan begitu bersemangat. Ada di antara wajah-wajah itu merupakan rakan sekelasnya. Awin mengeluh sendiri. Entah kenapa, hari ini dia tidak punya semangat untuk ke sekolah. Pintu pagar sekolah hanya beberapa meter sahaja di hadapan. Semakin Ben menghampiri kawasan itu, semakin menurun semangatnya.
            Awin menoleh ke arah Ben yang khusyuk memandu. “Ben, kita ponteng sekolah nak?”
            “Hilang akal? Hari ini kita ada ujian kan?” Jawab Ben dengan dahi yang berkerut.
            Awin mengeluh untuk kesekian kalinya. Baru dia teringat pesanan Cikgu Gan yang menyuruh mereka mengulangkaji bab kuantum fizik yang membosankan itu. Kalau tadi peratusan penurunan semangatnya masih lagi di tangga selamat, namun saat dia wajah garang guru berbangsa Tionghua itu, peratusan semangatnya jatuh satu anak tangga lagi.
            “Kau mesti tak ulangkaji ni kan? Itu yang muka macam kucing mati anak saja tu!” Tebak Ben. “Cik adik, kita nak ambil STP tahun ni tahu?  Kita dah tak ada masa nak main-main. Cukuplah tahun lepas kita enjoy sakan. Tahun ni kenalah concentrate pada studi semula!”
Awin hanya mendiamkan diri. Malas mahu membalas kata-kata Ben. Kalau diceritakan tentang sebab utama wajahnya seperti ‘kucing mati anak’ itu, lagi panjang bebelan Ben yang sama hebat dengan mamanya.
            “Dah tak reti-reti nak turun? Kau nak aku bentang karpet merah ke?” Perli Ben sambil mencuit bahunya.
Awin tersentak. Rupa-rupanya mereka sudah sampai ke sekolah.
            “Pagi-pagi dah melamun...” ujar Ben seraya menggeleng kepala.
Dengan hati yang sebal Awin mencapai beg galasnya yang diletakkan di tempat duduk belakang. “Kau ni kan, memang sesuai sangat kalau tag team dengan mama aku tahu. Membebel macam mak nenek!” Pintu kereta dihempas kuat. Tanpa menunggu seperti selalu, Awin terus melangkah ke bangunan sekolahnya. Suara Ben yang menjerit memanggilnya tidak dihiraukan malah semakin laju dia berjalan. Apa sahaja yang berada di sekelilingnya tidak dihiraukan.
“Aduh!” Jerit Awin tiba-tiba bila tubuhnya terlanggar sesuatu yang keras di hadapannya. Perlanggaran secara tiba-tiba membuatkan tubuhnya terdorong ke belakang dan belum sempat dia mencapai tiang koridor di sebelahnya, dia jatuh terduduk. Punggungnya terhentak ke atas simen. Awin mengaduh kesakitan.
“Awin! Kau tak apa-apa?” Tanya Ben yang berlari mendapatkannya. Awin mengosok dahinya yang kepedihan. Suara orang bercakap-cakap dan ketawa kecil mula kedengaran. Insiden yang menimpanya kini menjadi tontonan pelajar-pelajar yang lain. Wajahnya merah menahan malu. Tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami dia bingkas bangun. Matanya mencari ‘sesuatu’ yang membuatkan dia memalukan dirinya sendiri tadi.
Pandangan Awin jatuh ke arah sebatang tubuh lelaki yang sedang berpaling di hadapannya. Beg hitam yang digalas pelajar lelaki itu ditenung geram. Beg itulah yang dilanggar hingga menyebabkan dia terjatuh tadi. Letak batu ke apa? Keras betul begnya! Gumamnya dalam hati. Hati Awin menjadi panas. Beg hitam itu dipukul dengan beg galasnya lalu ditarik kuat hingga membuatkan pemiliknya berhenti berjalan.
Perlahan pemilik beg itu berpusing mengadap Awin. Awin tergamam. Ini pertama kali dia melihat wajah pelajar di hadapannya. Nafasnya terasa terhenti seketika. Dengan kulitnya yang cerah dan rambutnya yang agak panjang, ditambah pula dengan bibirnya yang sedikit kemerahan, pelajar itu boleh dimasukkan ke dalam kategori lelaki kacak. Pelajar-pelajar yang berada di sekeliling mereka mula bercakap-cakap sesama sendiri.  Awin tidak tahu apa yang sedang dicakapkan mereka namun telingannya dapat menangkap perkataan ‘budak baru’ di kalangan mereka.
Tiba-tiba suasana menjadi hening apabila pelajar itu menghampiri Awin. Ben di sebelahnya menahan nafas sebaik sahaja pelajar itu berdiri betul-betul di hadapan Awin. Awin menunduk.
 “Apa masalah kau?” Keras suaranya bertanya.
Awin menelan liur. Rasa takut mula menguasai dirinya. Dia tidak berani mengangkat kepalanya memandang wajah lelaki itu.
“Err..maafkan dia. Dia tak berapa sihat hari ni,” ujar Ben di sebelahnya. Tanpa berlengah, Ben segera menarik tangan Awin. Namun sebaik sahaja dia berjalan di sebelah pelajar itu, tangannya tanpa sengaja tersentuh lengan pelajar itu. Seakan terkena kejutan elektrik, Awin menarik pantas tangannya. Perasaan aneh itu datang tiba-tiba. Dadanya mulai sakit. Kali ini, Awin memandang wajah pelajar lelaki itu dalam-dalam. Dadanya bergelora sebaik sahaja pandangan mereka bersatu. Oh, Tuhan! Siapa lelaki ini?

1 comments:

Anonymous Says:
19 September 2012 at 16:44

ya betul. Siapakah lelaki itu? Adakah putera dari planet lain?? - JE

Total Pageviews