Followers

Novel : King of Criscendo (Bab 2)

| Saturday, 11 August 2012 | |

by: Virtual Writer

Bab 2

Matahari pagi menyinar di segenap pelusuk bumi Criscendo dan dari jauh, istana besar Criscendo kelihatan seperti warna keemasan disinari cahaya matahari yang baru terbit. Benar seperti desas-desus orang yang kononnya istana itu dibina hasil campuran tanah dan emas beberapa abad yang lalu. Warna keemasan dan struktur binaannya masih lagi utuh walaupun sudah beberapa generasi keturunan raja Criscendo yang memerintah Negara itu.

Seorang lelaki berkelubung coklat sedang memerhatikannya dari jauh dari belakang sebatang pokok yang tumbuh merimbun di dalam hutan. Dia menarik kelubung yang menutup sebahagian wajahnya sebelum berjalan keluar perlahan-lahan dari tempat persembunyiannya menuju ke sebuah pecan kecil yang terletak di luar kawasan istana.

Pagi itu, pasar pagi di kampung itu sudah mula dibanjiri penduduk tempatan yang ingin membeli keperluan masing-masing. Lelaki berkelubung itu juga disangkakan penduduk tempatan yang mahu membeli keperluan. Seorang wanita tua yang menjual pelbagai jenis sayur-sayuran tersenyum padanya dan cuba menawarkan harga yang lebih murah. Tanpa semena-mena, tiga orang budak lelaki berlari keluar dari sebatang lorong dan salah seorangnya terlanggar lelaki berkelubung itu. Kelubungnya ditarik hingga mendedahkan wajahnya yang sebenar.

“Fran? Kau ni Fran?” Sapa wanita yang menjual sayur-sayuran itu dengan suara yang cukup kuat hinggakan hamper semua orang berdekatan menoleh memandangnya.

“Ishh…” Lelaki berkelubung itu mula menarik wajah masam lalu bergegas pergi dari situ tanpa menghiraukan orang ramai. Dia berjalan pantas hingga tiba di belakang sebuah lorong seraya menarik semula kelubung coklat menutup wajahnya. Dia menyandarkan tubuhnya di sebalik dinding sebuah bangunan dan menyentuh wajahnya sendiri. Pipi kirinya sudah melecur meninggalkan kesan parut akibat kesan terbakar yang dialaminya 17 tahun lalu. Parut itu masih berbekas dan dia sengaja tidak mahu mengubatinya sebagai tanda dendamnya kepada kerajaan Criscendo yang masih belum terpadam.

Bunyi letupan dari jauh mengejutkannya, lalu lelaki itu pantas keluar dari belakang lorong menyertai beberapa penduduk lain yang mulai panic itu. Pasar pagi di kampong itu nampaknya telah dibedil bahan letupan dan dalam kekacauan itu muncul lima orang lelaki berkuda yang lengkap dengan pedang dan panah. Tiga orang daripada mereka meluru dengan kuda masing-masing dan mula memanah secara rambang ke arah penduduk-penduduk kampung yang mula lari bertempiaran sambil menjerit-jerit.

Fran juga tidak tunggu lagi apabila melihat kekacauan itu lalu mula berlari pantas menyelinap di sebalik bangunan-bangunan using hingga sampai ke pinggir hutan. Dia berselindung di sebalik semak sekadar melihat sahaja kampung kecil itu musnah diserang lima lelaki misteri berkuda itu.

“Mereka ni… siapa?” Dia bergumam sendiri.

*****

“Tuan, Kampung Npolua diserang lelaki-lelaki berkuda tu lagi. Ini dah kampung ketiga di daerah Vinem yang diserang dalam masa dua bulan. Kami tak sempat sampai ke sana dan ramai penduduk terkorban dan cedera akibat serangan tu.” Pegawai Liu melaporkan kepada Jeneral Xavier yang berdiri membelakanginya. Lelaki veteran tentera itu mula mengurut-ngurut janggutnya.

“Macam mana dengan daerah-daerah lain?” Xavier menyoal anak buahnya itu.

“Masih belum ada serangan di daerah-daerah lain, tuan. Kami percaya mereka ini kumpulan pemberontak kerajaan dan mungkin mahu mengambil perhatian kita dengan serangan ni. Tapi, serangan tu cuma berlaku di perkampungan kecil. Mungkin mereka ni sekadar kumpulan yang kecil…”

“Bodoh! Besar atau kecil, mereka dah membunuh dan mencederakan penduduk kita. Ketatkan pengawasan di kampung-kampung lain terutamanya di sekitar istana. Awasi orang yang disyaki dan arahkan tentera-tentera di daerah lain bersiap-sedia. Kalau perlu, pindahkan kumpulan mereka ke sini untuk bantu kumpulan kita. Yang penting, kawalan di kawasan istana mesti diperketatkan. Aku tak mahu istana Criscendo diceroboh.” Xavier member arahan.

Tertunduk-tunduk Liu menerima arahan ketuanya itu. “Tuan rasa sasaran mereka ialah istana? Tapi, menurut saksi mereka cuma berlima. Tak mungkin mereka berupaya menceroboh istana kebal kita dengan mudah.”

Xavier menarik nafas panjang. “Jangan pandang rendah pada sesiapa pun setakat ni.” Katanya sebelum berjalan keluar dari pejabatnya di bangunan ibu pejabat tentera Criscendo yang terletak di bangunan barat Istana. Bangunan barat terletak di kawasan berbukit yang membolehkan anggota yang berkawal dapat melihat di seluruh kawasan berhampiran istana.

“Kau rasa kenapa Tuan Xavier nampak takut sangat ni?” Liu menyoal Strry, seorang lagi temannya sambil kedua-dua mereka mengerling lelaki veteran itu dari jauh. Sejak mula dirasakan Xavier yang terkenal dengan ketenangannya itu mula bersikap terlalu berwaspada seolah-olah takut dengan sesuatu.

“Kau rasa ada kaitan dengan surat kepada Tuanku tu ke?” Strry menyoalnya kembali.

Beberapa minggu yang lalu istana Criscendo digemparkan dengan berita sepucuk surat yang dikirim kepada raja Nowaru. Surat berbaur ugutan dan ancaman itu ditemui tertampal di pintu gerbang istana dengan sebatang anak panah. Sejak penerimaan surat itu, muncul pula lima orang penyerang misteri yang menyerang perkampungan kecil di segenap pelusuk daerah Vinem yang menempatkan istana besar Criscendo itu.  

“Aku pun tak tahu. Tapi, memang sejak peristiwa 17 tahun lepas, raja Nowaru dianggap sebagai seorang yang kejam dan tak berperikemanusiaan. Baginda dah mula dibenci rakyat sendiri dan tak mustahil ada orang nak balas dendam.”

“Tapi, tugas kita ialah mempertahankan istana dan Negara ni. Walau sekejam mana pun tuanku, aku tetap taat setia kepadanya.”

“Hurmm… aku harap Negara kita takkan ditimpa huru-hara lagi.”

………..
Kepada Rajaku yang disayangi, Nowaru.
Aku bersumpah atas nama anakku yang Criscendo tidak akan aman dan tenang. Aku bersumpah atas nama anakku yang tidak akan ada raja yang boleh memerintah Negara yang begini.
Aku bersumpah atas nama anakku yang aku akan membalas setiap perbuatanmu supaya nasib malang anakku dapat dibela.
Aku bersumpah atas nama anakku yang puteramu tidak akan hidup sebagai pemerintah lagi.
………..


Fran menarik nafas lega apabila dia melihat bumbung rumahnya yang serba kedaifan itu dari jauh. Mengenangkan dirinya yang masih bernyawa dan berjaya kembali ke pangkuan keluarganya sudah cukup membuatkan dia bersyukur. Walaupun tujuan asalnya kembali ke daerah Vinem terganggu oleh lima penyerang misteri tadi, namun dia gembira kerana mengetahui yang daerah itu sedang ditimpa musibah yang cukup hebat. Mujur juga dia tinggal di daerah Dante.

“Ayah ke mana?” Seorang remaja lelaki berambut hitam, berbadan tegap yang sedang memegang bakul berisi buah-buahan hutan menegurnya dari belakang. Fran menoleh melihat anak lelakinya sedang merenungnya dengan pandangan mata yang pernah dimiliki isterinya suatu ketika dulu. Pandangan mata yang amat redup dan ketenangan yang sukar dimiliki oleh sesiapapun. Fran mengagumi anaknya itu dalam diam.

“Tak ke mana-mana.” Jawab Fran.

“Jangan bohong pada saya, ayah.” Suara anak muda itu sedikit lantang namun masih beradab. “Ayah pergi ke Vinem lagi, kan?”

Fran tahu dia tidak dapat membohongi anaknya namun dia memilih untuk berdiam diri. Dia berjalan masuk ke dalam rumah dengan senyap meninggalkan anak terunanya itu diluar seorang diri.

“Hijiri… maaf.” Dia berbisik.

Hijiri Plytz ialah seorang remaja berusia 17 tahun yang amat bertanggungjwab. Meskipun dirasakan ayahnya hanya tahu merayau dan berjudi di luar, namun dia tidak pernah merungut walaupun sekali. Dia tidak pernah bersekolah, namun dia mengetahui kepentingan ilmu. Dia menghabiskan masa di perpustakaan di Bandar ataupun membantu pekedai-pekedai demi menyara dirinya dan ayahnya. Hijiri memang amat disenangi ramai kerana sikapnya yang pendiam itu walaupun dia sebenarnya menyembunyikan kepintarannya yang sebenar. Sejak kecil, ayahnya mengajarnya supaya tidak mengambil peduli akan urusan orang lain. Tidak perlu membantu jika ianya tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan dia juga diajar supaya tidak menjadi orang yang kejam. Kesimpulannya, Hijiri bukanlah seorang yang baik hati dan bukan juga seorang jahat dan kejam. Personalitinya itu seperti dia tidak mengambil peduli dengan orang lain, dan sesungguhnya Hijiri senang begitu. Tidak membenci malah tidak menyayangi.

Namun entah kenapa, dia merasakan kebencian yang amat meluap-luap terhadap Criscendo ada jauh di sudut hati ayahnya itu.

 -bersambung di bab 3-

0 comments:

Total Pageviews