by: Virtual Writer
Prolog: The Prophecy
Malam yang amat dingin dan sejuk dengan guruh bergumpita di langit. Hujan turun dengan lebat di bumi bertuah Criscendo seolah-olah bumi itu tidak lagi akan menerima hujan pada hari-hari seterusnya. Dari jauh, wanita-wanita yang rata-rata merupakan golongan petani berlari-larian memungut baju di ampaian. Ada yang kelihatan risau menunggu suami dan anak-anak masing-masing yang masih bekerja di ladang. Golongan lelaki turut mengeluh sambil melihat langit yang menghitam di angkasa. Risau dengan tumbuh-tumbuhan yang baru ditanam di ladang serta haiwan ternakan yang mungkin akan diterbangkan ribut taufan itu. Masing-masing sibuk membetulkan atap rumah masing-masing yang diperbuat dari jerami dan tanah liat supaya air hujan yang luar biasa lebatnya itu tidak akan tempias ke dalam. Api mula dihidupkan untuk menghangatkan badan dan anak-anak kecil juga mula didodoikan di dalam selimut.
Namun, tiada sesiapa yang lebih risau berbanding dengan seorang lelaki berjambang yang sedang mundar-mandir di hadapan pintu biliknya dengan raut wajah yang cemas. Jari-jemarinya diletup-letupkan tanda dia sudah tidak sabar dan dalam masa yang sama kerisauan mula bertambah. Sekali-sekala dia memandang ke luar tingkap melihat cuaca yang tidak menyenangkan itu.
“Tuanku, berehatlah. Patik akan panggil Tuanku bila selesai nanti.” Seorang lelaki yang setia berdiri di sisinya menegur dengan wajah yang runsing. Melihat raja bumi Criscendo dirundung risau menantikan kelahiran cahaya mata pertamanya itu membuatkan dia berasa susah hati. Seluruh penghuni istana besar Negara Criscendo itu kelihatan cemas menantikan kelahiran cahaya mata sulung raja dan permaisuri mereka.
“Tak perlu. Beta mahu berada di sini apabila Permaisuri melahirkan putera kami nanti.” Katanya sambil mengerling ke arah pintu kamar yang masih tertutup itu. Begitu yakin sekali baginda tentang jantina anakandanya itu meskipun tiada sesiapa pernah memberitahunya sebelum itu. Sudah beberapa jam Permaisurinya bersama-sama tabib dan bidan istana berkurung di dalam bilik itu dan sudah beberapa jam Raja Nowaru kelihatan begitu.
Tidak lama kemudian kedengaran tangisan bayi dari dalam kamar membuatkan kedua-dua lelaki itu menoleh. Ada sinar cahaya di mata Raja Nowaru dan tatkala pintu bilik itu dibuka, dia terus menerkam ke arah ketua tabib istana yang sedang mengendong seorang bayi di dalam sehelai kain putih.
“Tahniah Tuanku. Putera Tuanku selamat dilahirkan.” Ucap tabib itu tersenyum seraya menyerahkan putera kecil itu ke dalam dakapan Raja Nowaru.
Baginda tersenyum melihat putera kecilnya itu. Berambut perang muda seperti warna emas dan bermata biru laut, si kecil itu seperti tersenyum kembali kepadanya. “Puteraku, semoga kau membesar menjadi putera yang gagah berani.” Dia berbisik sambil mengucup dahi puteranya itu. Memang dari dulu, dia menginginkan seorang putera sebagai pewaris takhta kerajaan Criscendo. Namun permaisurinya sekadar tersenyum dan hanya berkata, “Tak kira putera atau puteri, dia tetap anak yang kita akan kasihi.”
Raja Nowaru tersenyum sejenak sebelum kembali memusatkan pandangannya ke arah tabib istana. “Macam mana permaisuri beta?”
Tabib istana tunduk seketika dengan wajah yang sayu. Pada ketika itu, Raja Nowaru mula mengesyaki sesuatu berlaku pada isterinya lalu masuk ke dalam bilik hanya untuk melihat Permaisuri Amelia terbaring kaku di atas katil sambil dikelilingi beberapa orang tabib perempuan dan dayang-dayang istana yang masing-masing menutup wajah dengan esakan dan tangisan air mata.
“Amelia sayangku…” Baginda tidak dapat menahan diri dari mengalirkan air mata melihat isteri yang dicintainya itu terbaring tanpa nafas. Beberapa orang menteri dan orang kanannya segera menghampirinya, cuba menenangkan raja itu dan dari jauh, guruh masih kedengaran bergumpita di langit.
“Tuanku… bertenang, tuanku.“
“Tuanku…”
Dalam kekalutan itu, seorang lelaki muda berjubah putih dan berambut hitam berjalan masuk menghampiri Raja Nowaru sebelum meletakkan tangan kanannya di atas bahu baginda. Lelaki muda berkarisma yang kelihatan amat tampan dengan rambut hitamnya bersikat rapi ke belakang. “Tuanku… janganlah tuanku bersedih hati.” Pujuk si lelaki itu sambil mengukir senyuman manis.
“Ogwan, Amelia kesayangan beta dah tak ada…” Rengek Nowaru seperti seorang anak kecil sebelum mula menyembamkan wajahnya tepat ke bahu lelaki itu yang bernama Ogwan. Beberapa orang di dalam bilik itu memandang Ogwan kurang senang sambil mengerutkan kening. Mereka kenal akan lelaki itu. Seorang lelaki yang mengaku sebagai seorang ahli sihir dan mempunyai kuasa meramal yang hebat. Tiba di Criscendo beberapa bulan yang lalu dan berjaya menambat hati Raja Nowaru hinggakan dia dilantik menjadi Peramal istana.
“Tuanku jangan runsing. Putera tuanku akan membesar menjadi putera yang gagah perkasa. Baginda akan menjadi matahari yang akan sentiasa menyinari Criscendo dan rakyat jelatanya. Tapi tuanku, patik mahu memberitahu sesuatu tentang ramalan patik terhadap putera kecil ini. Patik bermimpi tentangnya sejak tiga hari lalu dan patik rasa patik perlu beritahu tuanku.” Kata Ogwan masih tersenyum.
“Beritahu apa?” Raja Nowaru mengesat air matanya sambil memandang ke arah lelaki muda yang kacak di hadapannya itu.
“Jika di bumi ini ada cahaya, pasti juga ada kegelapannya. Begitu juga dengan takdir putera tuanku. Pada usianya meningkat remaja, baginda akan bertemu dengan seseorang yang merupakan kegelapan dan kejahatan padanya. Jika dibiarkan kegelapan itu hidup, maka putera tuanku akan ditelan kegelapan itu dan ditimpa maut.”
“Apa maksudmu, Ogwan?”
“Tuanku, pada masa ini, seorang lagi bayi lelaki dilahirkan di sesuatu tempat. Bayi itu dan putera tuanku ini ditakdirkan untuk bertemu suatu hari nanti bagaikan lelaki dan perempuan yang berjodoh tetapi nasib mereka akan sentiasa bertentangan. Jika putera tuanku berada dalam keadaan gemilang, lelaki itu akan berada dalam kecelakaan dan begitu juga sebaliknya. Ini disebabkan mereka berdua berada di bawah pengaruh bintang yang sama mengikut ramalan patik. Mereka ditakdirkan untuk menjadi musuh dan boleh berbunuhan sesama sendiri untuk terus hidup.” Terang Ogwan lagi.
Wajah Raja Nowaru mulai berubah. “Maksudmu, ada seorang lagi bayi lelaki dilahirkan pada malam ini dan boleh memusnahkan hidup putera beta?” Dia mula memandang ke arah bayinya dan Permaisuri Amelia silih berganti. Tidak sanggup rasanya dia kehilangan orang yang disayanginya lagi. Apatah lagi pewaris takhta dan keturunannya.
“Benar tuanku. Nyawa mereka ditakdirkan berada dalam genggaman sesama sendiri. Putera tuanku perlu membunuh lelaki itu nanti setelah mereka bertemu.”
Raja Nowaru bangkit berdiri. “Tak perlu tunggu lagi. Kerahkan pengawal keluar dan bunuh semua bayi lelaki yang lahir pada malam ini. Jika perlu, gunakan kekerasan dan hapuskan sesiapa yang menghalang.” Pandangan mata raja itu bersinar-sinar dan kata-katanya diselang-selikan dengan bunyi guruh di langit.
Walaupun arahan itu kedengaran tidak masuk akal dan kejam, namun tiada sesiapa pun yang berani mahu menentang. Menentang raja yang amat risaukan masa depan puteranya dan yang baru kehilangan isterinya itu ibarat menggali lubang kuburnya sendiri. Dengan berat hati, kesemua mereka berundur memberi arahan mutlak raja itu supaya semua bayi lelaki yang dilahirkan malam itu dibunuh.
Dan tiada sesiapa pun sedar pada saat itu, Ogwan sedang tersenyum puas.
“Puteraku, beta namakan kamu Guren yang bermaksud ‘berani’ dalam bahasa Criscendo. Semoga kamu anakku akan menjadi putera yang gagah satu hari nanti.” Kata Raja Nowaru sambil mengusap dahi puteranya itu dengan penuh rasa kasih sayang. “… dan beta bersumpah atas nama ibumu untuk membesarkan kamu menjadi raja Criscendo yang terhebat, pewaris tunggal takhta beta.”
Pada malam itu puluhan bayi lelaki yang dilahirkan dari segenap lapisan masyarakat dibunuh tanpa belas kasihan. Kekecohan dan perang kecil hampir terjadi antara penduduk tempatan dan pengawal-pengawal istana dan menyebabkan banyak nyawa melayang pada malam bersejarah itu. Dan tiada sesiapa pun yang menyangka, masih ada seorang bayi lelaki yang terselamat kerana sempat dibawa lari oleh bapanya ketika itu.
-bersambung di BAB 1-
0 comments:
Post a Comment