Followers

Novel: Mencari Orion (Prolog)

| Monday, 17 September 2012 | |


Cahaya dalam gelap
“Serahkan anak itu pada aku!” Arah seorang lelaki berkepala botak kepada seorang wanita muda di hadapannya. Kalau ikutkan perkiraan Fauzi, sudah tiga kali lelaki botak itu membuat permintaan yang sama namun seperti sebelum ini, permintaannya kali ini juga tidak diendahkan oleh wanita muda itu.
“Jangan harap! Cukup sekali aku turutkan permintaan kalian, tapi bukan kali ini,” jawab wanita itu kasar.
Dari sebalik tong sampah besar di tepi lorong pejabatnya, Fauzi menggigil ketakutan. Dalam hati dia menyumpah kebodohan diri sendiri. Kenapa dia tidak seperti kawan-kawan sepejabatnya yang lain? Malam-malam minggu begini sepatutnya dia bersuka ria seperti mereka. Keluar berpacaran dengan pasangan masing-masing. Atau jadi sahaja seperti kawan baiknya yang sedang seronok menonton dvd di rumah sewa mereka ketika ini. Ini tidak, kerana terlalu kemaruk mahu mencari duit lebih agar impiannya mahu memiliki kereta sendiri tercapai, dia sanggup membuat kerja lebih masa di pejabat.
Akibatnya dia terpaksa menyaksikan adegan menakutkan di depannya kini. Bodoh! Kenapalah kau tak tinggalkan sahaja sampah tadi dalam ofis? Biar makcik tukang cuci yang buangkan isnin nanti. Baik sangat pula nak tolong buangkan! Gumamnya dalam hati. Niatnya mahu meringankan beban makcik tukang cuci bertukar menjadi mimpi ngeri Fauzi. Sebaik sahaja plastik sampah berisi kertas terpakai dicampak ke dalam tong sampah besar di belakang bangunan pejabatnya, dia dikejutkan dengan bunyi bising seperti bunyi enjin traktor mengaum. Jalan tar di bawah kakinya terasa bergetar. Tong sampah di sebelahnya turut bergegar kuat.
Mulanya dia meyangka ada gempa bumi melanda kawasan itu namun tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran cahaya yang terang benderang dari dinding di hujung lorong. Ketika itulah dia ternampak seorang wanita berlari keluar dari dinding tersebut membawa seorang bayi dan seorang budak. Sebaik sahaja ternampakkan dirinya, pantas wanita itu menyerahkan bayi di tangannya ke arah Fauzi. Secepat kilat Fauzi ditolak ke belakang tong sampah itu. Budak yang bersama wanita itu turut diarahkan bersembunyi bersama Fauzi.
“Diam kalau kau mahu selamat!” Arah wanita itu sebelum dia berlari semula ke arah cahaya itu tadi. Namun apa sahaja niat wanita itu, segalanya terbantut dengan kehadiran tiga orang lelaki dengan muka sebelah kiri mereka seakan bercorak yang keluar dari cahaya itu.
Walaupun baru lima minit peristiwa itu berlaku tetapi bagi Fauzi itulah lima minit terpanjang yang pernah dia lalui. Dia memandang bayi yang lena tidur di tangannya. Kemudian dia mengerling ke arah budak dalam lingkungan 7 tahun yang tidak diketahui lelaki perempuannya kerana rambutnya yang panjang. Budak itu nampak lebih kuat dari dirinya. Walaupun sedang berhadapan dengan situasi yang menakutkan namun wajahnya nampak tenang seolah-olah sudah biasa dengan situasi begini.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti orang sedang bertumbuk. Fauzi meninjau dari sebalik tong. Dia meneguk liur yang terasa seperti pasir di tekak. Wanita muda itu sedang berlawan dengan tiga orang lelaki tadi. Melihat dari cara wanita itu berlawan, Fauzi dapat merasakan kemenangan akan berpihak kepada lelaki bertiga itu. Budak di sebelah Fauzi tiba-tiba bangun mahu meluru ke hadapan. Tanpa berfikir panjang, Fauzi pantas menarik tangannya hingga membuatkan budak itu jatuh ke atas jalan dan terlanggar bahu Fauzi.
Serentak itu bayi di dalam pelukannya terjaga. Suara tanggisan kedengaran dan Fauzi mulai panik. Wanita muda dan lelaki yang sedang bertarung itu turut berhenti. Masing-masing memandang ke arah tong sampah besar itu. Fauzi memeluk bayi itu kuat sambil memujuknya untuk diam. Budak di sebelahnya turut dipeluk dengan tangan kirinya. Hatinya tidak putus-putus berdoa agar diri mereka semua selamat. Bunyi tanggisan seakan berlalu dibawa angin, telinganya kini  menangkap bunyi derapan kaki menghampiri mereka. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Kali ini dia terdengar pula bunyi jeritan yang nyaring. Badannya kembali menggigil memikirkan kemungkinan yang bakal menimpa.
“Pakcik!” Jerit budak itu.
Perlahan dia membuka matanya. Dalam penglihatannya yang kabur-kabur dia melihat seorang lelaki berjubah putih berdiri di hadapannya. Dia sedang mengendong tubuh wanita muda tadi yang sudah tidak sedarkan diri. Perlahan lelaki itu menurunkan wanita itu lalu dibaringkan ke atas lantai. Budak itu terus meluru mendapatkan lelaki itu. Lelaki berjubah putih itu bercakap sesuatu dengan budak itu menggunakan bahasa yang kedengaran begitu asing di telinga Fauzi. Tanggannya mengusap kepala budak itu. Tidak semena-mena budak itu terkulai ke atas tubuh ibunya. Fauzi menarik nafas pantas.
Kemudian lelaki berjubah putih itu memandang tepat ke arah Fauzi. Dia menghampiri Fauzi. Walaupun kepalanya bertutup dengan jubahnya, Fauzi dapat merasakan matanya melirik ke arah bayi yang sedang menanggis di pelukkannya. Tanggannya dihulurkan ke depan lalu dia mengusap kepala bayi itu. Serta merta tanggisan bayi itu reda. Dia kembali memandang ke arah Fauzi. Dia membuka penutup kepalanya. Wajah lelaki itu seperti lelaki-lelaki yang bertarung dengan wanita tadi. Ada corak seakan awan larat di pipi kiri hingga ke pelipisnya. Fauzi cuba membuka mulut mahu mengatakan sesuatu tetapi entah kenapa, suaranya seakan tidak mahu keluar dari kerongkongnya.
Lelaki itu berkata sesuatu dengannya. Kemudian tapak tangannya diletakkan di pelipis kiri Fauzi. Fauzi berasa kepalanya panas secara tiba-tiba sebelum segalanya menjadi gelap gelita.

1 comments:

Anonymous Says:
17 September 2012 at 18:37

Boleh mintak sambungan dia cepat2 tak? prolog je, kasi bab 1 cepat sikit. :P - JE

Total Pageviews