Teman
atau lawan?
“Awin, bagun. Nanti
kamu lewat!” Jeritan nyaring Nawal bergema di dalam lot nombor 5-1A di Kondominium
Casa Mila itu. Awin mengosok telinga yang bingit mendengar jeritan mamanya itu.
Rumah mereka tidaklah sebesar mana tetapi mamanya lebih gemar menjerit
mengejutkan dia setiap pagi sedangkan dia boleh sahaja mengetuk pintu bilik
Awin yang kedudukannya hanya beberapa langkah dari dapur, tempat mamanya akan
berada setiap pagi.
“Nazuwin
Akmal! Bangun cepat!” Jerit mamanya sekali lagi.
“Ya,
ma. Awin dah bangun,” balas Awin kuat. Sengaja dia membuka dan menutup pintu
almarinya kuat-kuat, sebagai tanda kononnya dia sudah mencapai tualanya dari
dalam almari. Sedangkan hakikat sebenarnya sudah lama dia terjaga atau lebih
tepat lagi dia tidak tidur langsung sejak malam tadi.
Awin
merenung wajahnya di hadapan cermin. Di sebalik kaca mata bingkai hitamnya,
matanya kelihatan tidak bermaya. Ada gelung hitam berlingkar di bawah pelupuk
mata. Wajahnya yang memang tidak secantik mana rupa parasnya pun nampak semakin
teruk kerana tidak cukup tidur. Nasibnya baik sedikit kerana tidak mengalami
sakit kepala seperti yang dialami Ben, kawan baiknya jika lelaki itu tidak
cukup tidur.
Awin
mengeluh kuat. Semenjak seminggu dua ini, entah kenapa dia takut mahu
melelapkan mata. Bukannya dia tidak mengantuk tetapi bila mengenangkan mimpi
buruk yang sering menganggunya kebelakangan ini, dia menahan dirinya dari
tidur. Dua minggu lalu dia mula bermimpi ada orang datang mahu menangkap
dirinya. Kemudian diikuti dengan mimpi dia berada di medan perang. Dan dua tiga
hari ini mimpinya mula diganggun dengan bayangan orang – orang asing yang
seolah-olah berniat jahat dengannya.
Awin mencapai bedak kompak di atas meja lalu
dipupuk di bawah mata, cuba mengurangkan kesan hitam di bawahnya. Walaupun
kesannya hanya sementara, sekurang-kurangnya dia dapat mengelakkan dari mamanya
bertanya panjang. Setelah yakin gelung hitam itu tidak begitu ketara kelihatan.
Awin mencapai beg galasnya lalu keluar dari bilik.
“Amboi,
kamu tak mandi ke Awin? Terus pakai baju sekolah?” Tegur Nawal sebaik sahaja
punggung Awin mencecah kerusi di meja makan. Belum sempat Awin mahu membuka
mulut, satu suara lelaki menjawab bagi pihaknya.
“Dia
dah bangun pukul 5.30 pagi tadilah, mama.”
Awin
menoleh ke arahnya abangnya yang baru keluar dari bilik. Lengkap dengan overall yang tertera perkataan Crystal
Auto, Remy mendekati mamanya lalu dikucup pipi wanita berusia 45 tahun itu,
rutin yang dilakukannya setiap pagi.
“Awalnya
kamu bangun? Kamu mimpi apa malam tadi?” Soal Nawal lagi. Matanya mencerun
memandang Awin yang berpura-pura asyik membaca surat khabar di atas meja.
“Mimpi
putera raja datang meminang, ma.” Balas Awin bersahaja. Dan mimpi kena kejar
dengan orang jahat, tambah Awin di dalam hati.
Nawal
ketawa mengekeh. “Kalau mama mimpi macam itu, lagi lambat mama bangun tidur.”
“Amboi,
Puan Nawal. Ada keinginan rupanya, ya?” Sergah ayah Awin, Akmal yang tiba-tiba
muncul di ruang makan itu.
“Sesekali bermimpi, apa
salahnya Encik Akmal,” jawab Nawal bersahaja. Suasana menjadi riuh bila mama
dan ayahnya saling bergurau tentang putera raja masuk meminang.
Awin
hanya tersenyum kecil melihat gelagat kedua orang tuanya. Walaupun sudah berusia,
hubungan mereka masih lagi mesra laksana pasangan baru berkahwin. Kadang-kadang
Awin sendiri naik segan bila terserempak dengan kemesraan mereka. Namun jauh
disudut hatinya dia bersyukur kerana dikurniakan ayah dan mama seperti Akmal
dan Nawal.
“Hei,
cik adik! Senyum sorang-sorang ni
kenapa?” Tegur Remy sambil menggosok kepala Awin hingga rambut gadis itu kusut
sedikit. Kerusi di sebelah Awin di tarik sebelum dia melabuhkan punggungnya di
atas kerusi.
“Abang
ni, janganlah kusutkan rambut Awin. Penat dah Awin dandan tadi tau!” Marah Awin
sambil membetulkan rambutnya. Remy hanya ketawa kecil. Pipi Awin yang sedikit
berisi itu dicubit lembut.
“Abang
suruh potong rambut pendek, awak tak
nak. Kan senang, tak perlu nak susah-susah dandan,” usik Remy lagi seraya
menarik ikatan tocang Awin.
“Abang!”
Awin menepis tangan Remy lembut. Muncungnya mula ditarik sedepa.
“Ala,
merajuklah tu, Tak perlu nak merajuklah dik. Buruk rupa awak tahu?” Giat Remy
lagi.
Awin
menjeling abangnya tajam. Mulutnya dikunci rapat, malas mahu membalas usikan
Remy. Kalau dilayan,makin menjadi-jadi usikan abangnya itu.
“Awin?” Lembut abangnya menyeru namanya. “Marah
abang ke?”
“Tak
kuasa, Awin! Marah pun abang buat juga lagi,” bentak Awin. Remy hanya ketawa
mengekek sambil tangannya mencedok mee goreng di atas meja. Laju sahaja Remy
menyuap mee goreng yang hampir sejuk itu ke dalam mulut. Mellihat Remy yang
berselera benar menjamu sarapan pagi, tiba-tiba perut Awin terasa lapar. Dengan
garfu di tangan dia menyudu mee goreng di dalam pinggannya. Namun baru sahaja
satu suap, perutnya sudah terasa sebu. Akibat tidak cukup tidur, selera
makannya turut terjejas. Awin mengeluh sendiri.
“Kenapa
Awin ni? Depan rezeki tak baik mengeluh.” Tegur Remy. “Awak ada masalah ke?”
Tanya Remy lagi.
Awin
hanya menggeleng.
“Habis
tu, awak tak sihat?” Remy meletakkan belakang tangannya ke dahi Awin. “Normal
aja,” ngomel Remy.
“Orang
tak cukup tidur,” balas Awin perlahan, bimbang didengari oleh mama dan ayahnya.
Matanya menjeling sedikit ke arah mereka yang masih berbual di tepi sinki.
“Mimpi
lagi?” Keras suara Remy bertanya. Awin hanya mengangguk. Sejak dia mula
mengalami gangguan tidur itu, hanya pada Remy dan Ben sahaja dia mengadu. Dan
seperti ada persefahaman, abangnya itu tidak pula bercerita dengan mama dan
ayahnya.
“Orang
tak laratlah macam ni, abang. Tiap-tiap malam baru saja mata ni nak terpejam,
mulalah mimpi-mimpi tu datang mengacau. Apa orang nak buat ni?” Awin memandang
ke arah Remy. Dahinya sedikit berkerut bila melihat wajah abangnya yang tegang.
Kulit muka abangnya yang putih bersih kelihatan merah seperti orang sedang
menahan rasa. Aik, aku yang tak boleh tidur, dia yang marah semacam kenapa?
Tiba-tiba Remy menoleh
ke arahnya. Renungan mata abangnya yang tajam membuatkan Awin tidak senang
hati.
“Awin,
abang...” Apa pun yang mahu dikatakan Remy terhenti bila nada dering lagu Papercut dendangan Linkin Park
kedengaran dari telefon bimbit Awin. Pantas Awin mencapai telefon di dalam
kocek pakaian seragam sekolahnya. Melihat nama Ben tertera di skrin, mata Awin
segera memandang ke arah jam di dinding.
Tujuh
lima belas! “Alamak, orang dah lambat!” Jeritnya seraya memasukkan telefon ke
dalam poket bajunya. Tanpa berlengah dia segera mencapai beg galasnya dan
meluru ke arah ayah dan mamanya. Tangan keduanya disalam dan dikucup. “Awin
pergi dulu, mama, ayah.” Dia pantas berlari ke pintu.
“Jalan
baik-baik,” pesan ayahnya.
Ketika
dia menyarung kasut ke kaki, Remy menghampirinya. “Awin, abang nak cakap
sesuatu ni.”
“Orang
dah lambatlah, abang. Malam nantilah, ya?” Ujar Awin sebelum berlari ke arah
lif meninggalkan Remy dengan wajah yang penuh kesalan.
***
Perjalanan
ke sekolah yang hanya mengambil masa 10 minit lazimnya terasa begitu lama pagi
ini. Sunyi sepi menyelubungi ruang kereta Kancil berwarna kuning milik ibu Ben
itu. Selalunya sebaik sahaja Awin masuk ke dalam perut kereta, pasti mulut Ben
tidak berhenti-henti bercakap. Tetapi hari ini, mulut kawan baiknya itu
terkunci rapat. Mungkin kerana mereka sudah lama bersahabat, Ben sudah cukup
maklum dengan perangainya. Melihat air mukanya yang keruh tadi sudah cukup
untuk membuatkan lelaki berambut pendek itu mengunci mulut. Radio juga
awal-awal lagi sudah dimatikan siarannya.
Awin
melemparkan pandangan ke luar. Beberapa orang remaja berpakaian sekolah sedang
berjalan sambil bergelak ketawa di bahu jalan. Wajah mereka nampak ceria dan
begitu bersemangat. Ada di antara wajah-wajah itu merupakan rakan sekelasnya.
Awin mengeluh sendiri. Entah kenapa, hari ini dia tidak punya semangat untuk ke
sekolah. Pintu pagar sekolah hanya beberapa meter sahaja di hadapan. Semakin
Ben menghampiri kawasan itu, semakin menurun semangatnya.
Awin
menoleh ke arah Ben yang khusyuk memandu. “Ben, kita ponteng sekolah nak?”
“Hilang
akal? Hari ini kita ada ujian kan?” Jawab Ben dengan dahi yang berkerut.
Awin
mengeluh untuk kesekian kalinya. Baru dia teringat pesanan Cikgu Gan yang
menyuruh mereka mengulangkaji bab kuantum fizik yang membosankan itu. Kalau
tadi peratusan penurunan semangatnya masih lagi di tangga selamat, namun saat
dia wajah garang guru berbangsa Tionghua itu, peratusan semangatnya jatuh satu
anak tangga lagi.
“Kau
mesti tak ulangkaji ni kan? Itu yang muka macam kucing mati anak saja tu!”
Tebak Ben. “Cik adik, kita nak ambil STP tahun ni tahu? Kita dah tak ada masa nak main-main. Cukuplah
tahun lepas kita enjoy sakan. Tahun
ni kenalah concentrate pada studi
semula!”
Awin hanya mendiamkan
diri. Malas mahu membalas kata-kata Ben. Kalau diceritakan tentang sebab utama
wajahnya seperti ‘kucing mati anak’ itu, lagi panjang bebelan Ben yang sama
hebat dengan mamanya.
“Dah
tak reti-reti nak turun? Kau nak aku bentang karpet merah ke?” Perli Ben sambil
mencuit bahunya.
Awin tersentak.
Rupa-rupanya mereka sudah sampai ke sekolah.
“Pagi-pagi
dah melamun...” ujar Ben seraya menggeleng kepala.
Dengan hati yang sebal
Awin mencapai beg galasnya yang diletakkan di tempat duduk belakang. “Kau ni
kan, memang sesuai sangat kalau tag team
dengan mama aku tahu. Membebel macam mak nenek!” Pintu kereta dihempas kuat.
Tanpa menunggu seperti selalu, Awin terus melangkah ke bangunan sekolahnya.
Suara Ben yang menjerit memanggilnya tidak dihiraukan malah semakin laju dia
berjalan. Apa sahaja yang berada di sekelilingnya tidak dihiraukan.
“Aduh!” Jerit Awin
tiba-tiba bila tubuhnya terlanggar sesuatu yang keras di hadapannya.
Perlanggaran secara tiba-tiba membuatkan tubuhnya terdorong ke belakang dan
belum sempat dia mencapai tiang koridor di sebelahnya, dia jatuh terduduk.
Punggungnya terhentak ke atas simen. Awin mengaduh kesakitan.
“Awin! Kau tak
apa-apa?” Tanya Ben yang berlari mendapatkannya. Awin mengosok dahinya yang
kepedihan. Suara orang bercakap-cakap dan ketawa kecil mula kedengaran. Insiden
yang menimpanya kini menjadi tontonan pelajar-pelajar yang lain. Wajahnya merah
menahan malu. Tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami dia bingkas bangun.
Matanya mencari ‘sesuatu’ yang membuatkan dia memalukan dirinya sendiri tadi.
Pandangan Awin jatuh ke
arah sebatang tubuh lelaki yang sedang berpaling di hadapannya. Beg hitam yang
digalas pelajar lelaki itu ditenung geram. Beg itulah yang dilanggar hingga
menyebabkan dia terjatuh tadi. Letak batu ke apa? Keras betul begnya! Gumamnya
dalam hati. Hati Awin menjadi panas. Beg hitam itu dipukul dengan beg galasnya
lalu ditarik kuat hingga membuatkan pemiliknya berhenti berjalan.
Perlahan pemilik beg
itu berpusing mengadap Awin. Awin tergamam. Ini pertama kali dia melihat wajah
pelajar di hadapannya. Nafasnya terasa terhenti seketika. Dengan kulitnya yang
cerah dan rambutnya yang agak panjang, ditambah pula dengan bibirnya yang
sedikit kemerahan, pelajar itu boleh dimasukkan ke dalam kategori lelaki kacak.
Pelajar-pelajar yang berada di sekeliling mereka mula bercakap-cakap sesama
sendiri. Awin tidak tahu apa yang sedang
dicakapkan mereka namun telingannya dapat menangkap perkataan ‘budak baru’ di kalangan
mereka.
Tiba-tiba suasana
menjadi hening apabila pelajar itu menghampiri Awin. Ben di sebelahnya menahan
nafas sebaik sahaja pelajar itu berdiri betul-betul di hadapan Awin. Awin
menunduk.
“Apa masalah kau?” Keras suaranya bertanya.
Awin menelan liur. Rasa
takut mula menguasai dirinya. Dia tidak berani mengangkat kepalanya memandang
wajah lelaki itu.
“Err..maafkan dia. Dia
tak berapa sihat hari ni,” ujar Ben di sebelahnya. Tanpa berlengah, Ben segera
menarik tangan Awin. Namun sebaik sahaja dia berjalan di sebelah pelajar itu,
tangannya tanpa sengaja tersentuh lengan pelajar itu. Seakan terkena kejutan
elektrik, Awin menarik pantas tangannya. Perasaan aneh itu datang tiba-tiba.
Dadanya mulai sakit. Kali ini, Awin memandang wajah pelajar lelaki itu
dalam-dalam. Dadanya bergelora sebaik sahaja pandangan mereka bersatu. Oh,
Tuhan! Siapa lelaki ini?
1 comments:
19 September 2012 at 16:44
ya betul. Siapakah lelaki itu? Adakah putera dari planet lain?? - JE
Post a Comment