Followers

Bentara Pawaka : Bab 2

| Tuesday, 23 April 2013 | |


Bab 2
Pemuda itu tekun dalam pekerjaannya. Jarinya tangkas bergerak menukar posisi manik pada sempua manakala pada tangan kanannya pula menggerakkan pena, mencoret sesuatu pada suatu helaian kertas. Kadang-kala mataya akan bergerak melihat pada lembaran peta yang digantung pada dinding bilik tersebut.

Perbuatannya itu sudah beberapa kali dilakukannya  sambil diperhatikan oleh seorang lelaki separuh usia. Seketika kemudian, tangannya berhenti bergerak. Pandangannya pula beralih kepada lelaki separuh usia itu sambil berkata, “4 hari.”

Tuan Jurangan tersenyum. Dia lalu bertanya, “Kau pasti, Nuruddin?”

Pemuda itu menganggukkan kepalanya dengan pasti.

Tuan Jurangan menghampiri meja Nuruddin. Kemudian, perlahan jari telunjuknya dimajukan kehadapan lalu mengerakkan sebiji manik pada sempoa itu. Sengaja dia lakukan semua itu bagi menarik perhatian Nuruddin. Lalu terdengar suatu suara dari pemuda di hadapannya, “Kenapa dua?”

Tuan Jurangan hanya tersenyum dia kemudiannya  berpusing lalu bergerak menghampiri pintu sambil berkata, “Marilah, akan aku tunjukkan kenapa.”

Nuruddin hanya bergegas mengikuti Tuan Jurangan sehingga ke geledak kapal. Tuan Jurangan kemudian menunjuk ke arah panji-panji pada tiang seri. “Dapatkah kau lihat kenapa?”

Ketika itu barulah Nuruddin sedar. “Adakah mungkin kelajuan angin sudah berubah?”

“Bukan sahaja angin, malah ombak dan cuaca semuanya berubah dalam beberapa hari ini. Beberapa hari ini kau sibuk dengan urusanmu di dalam bilik nakhoda sehingga lupa untuk melihat ke luar. Jika hari ini aku tidak menyuruh kamu mengira perjalanan ke Kota Semerak pastinya kau juga sudah lupa, bukan? ”

“Maaf, Tuan Jurangan.”

“Tidak mengapa. Kau hanya terlupa, namun kesalahanmu itu tidak seharusnya berlaku. Kesilapan di dalam mengira tempoh perjalanan mampu mengundang kepada maut. Sebagai nakhoda, kau adalah orang yang bertanggungjawab kepada semua nyawa yang berada di atas kapal ini. Ingat kata-kataku ini Nuruddin, di dalam laut nakhoda adalah orang yang paling berkuasa di atas kapal. Mereka dianugerahkan dengan kuasa raja dan bahtera mereka adalah kekuasaan mereka.”

“Akan saya ingati semua tunjuk ajar tuan.”

“Seperkara lagi, tentang penumpang yang kau bawa masuk itu. Apa mereka mempunyai sebarang masalah?”
“Maksud, tuan?”
....

“Nizam adakah kita harus berada di dalam ruang ini sepanjang pelayaran ini?”,tanya seorang lelaki.

Nizam, pemuda yang berada di hadapan lelaki tadi mengalih pandangannya daripada pedang di tangannya. Dia kemudian berkata, “Kenapa, Wira?”

“Saya rasa sekali kala kita harus keluar dari ruang simpanan ini dan mengambil angin di ruang geledak.”

“Untuk tujuan apa?”

“Demi mencegah rasa curiga di kalangan komuniti setempat”,jawab seorang lagi lelaki.

“Kamu ada sebab yang kukuh, Waja. Baiklah, kita boleh keluar ke ruang geledak tapi jangan timbulkan sebarang masalah”,ujar Nizam setelah mendiamkan diri buat seketika.

“Akhirnya kita boleh keluar dari ruang simpanan ini”,jerit Wira sambil berdiri. Dia kemudiannya berjalan keluar dari tempat itu.

“Kau berhutang dengan aku untuk ini”, balas Waja sambil mengekori Wira.

“Yalah, aku belanjalah kau nanti.”

“Tuan tidak bersama kami ke geledak?”,soal Wira. Langkahnya dihentikan sebentar.

“Tidak mengapa, kamu pergilah dahulu. Aku akan ke atas bila keadaan sudah sunyi sedikit.”

...

Pemuda itu mengeluh. Jarinya berhenti dari menulis sesuatu pada buku dihadapannya. Mungkin sekali catatannya. Matanya kemudian dialihkan ke arah tingkap di sisinya, suasana di luar sudah gelap sepenuhnya. Dia lalu bangun meninggalkan mejanya menuju ke arah pintu bersama keris di tangan. Sekali sekala mengeluarkan peluh apa salahnya, detik hatinya ketika itu.

Suasana pada malam itu sepertimana pada malam lainnya, gelap cuma saja pada malam itu Peniti Awan di sinari oleh rembulan. Dihiasi dengan para bintang juga didendangi dengan alunan suara ombak dan bayu. Ya, sepertimana malam yang lainnya juga malam yang lain dari yang biasanya, adalah malam yang indah. Itulah yang terlintas pada hati Nuruddin.

Namun pada malam itu dia tidak menyangka apabila tiba di ruang geledak, seseorang sudah tiba terlebih dahulu. Sepertimana dirinya juga, lelaki di hadapannya itu bermain pencak di ruang geledak. Dengan pedang jenawi di tangannya, lelaki itu mengatur langkah bunganya dengan sempurna.

“Siapa sangka, ada juga yang bermain pencak di sini”,kata Nuruddin membuka bicara.

Lelaki itu memberhentikan jurusnya lalu menoleh ke arah suara itu. Dia kemudian berkata, “Maafkanlah jika kehadiran hamba ini menganggu tuan. Tidak terniat pada hati untuk berlaku sedemikian. Jika perlu, akan hamba undurkan diri ini dari tempat ini.”

“Tidak, tidak mengapa. Saya juga mahu berpencak tadi, dan usahlah tuan berbahasa bunga dengan saya. Saya juga sepertimana tuan, orang kebanyakan,”balas Nuruddin.

“Berpencak? Jadi tuan juga mahir berpencak silat”

“Ya, salah satu latihan perantisku adalah untuk berlawan dengan musuh. Jika tuan mahu, boleh saja kita menggerakkan sendi dan tulang ini.”

“Jika itu pelawaan tuan, tidak akan saya menolak.”

Sesudah kata-kata itu masing-masing menghunus senjata sambil membuka langkah. Gelap awan yang tadinya menghijabi cahaya bulan kini bagai membuka tirainya seolah mahu melihat pertarungan di atas lancar itu.

“Oh sebelum terlupa, apa nama tuan?”,tanya Nuruddin.

“Nizam dari Pawaka”

“Nurrudin dari Sarang Pulang”

Lalu bunyi besi berlaga menghiasi malam itu. Awak-awak yang bertugas terpaku melihat pertarungan dua pahlawan itu. Dan bintang juga menjadi saksi akan kehebatan kedua orang manusia itu.

...

Malam itu sebagaimana malam sebelumnya riuh dengan suara sorakan. Masing-masing tidak mahu kalah dalam memberi semangat kepada dua orang pemuda di dalam gelanggang itu.

“Nuruddin, kau tak rasa yang mereka yang bersorak ini semakin ramai dan menganggu?”

“Yakah? Aku rasa mereka ini memberi semangat padaku atau mungkin kau merasa kekalahan semakin dekat padamu oleh itu kau mereka alasan untuk menutup malumu, Nizam”

“Oh, adakah itu caramu memancingku. Terlalu cetek akalmu, umpanmu itu bagai bayi kecil pun merasa lucu mendengarnya.”

“Apa?! Baiklah, ayuh tunjukkan kemahiran itu atau jenawimu itu hanya hiasan?”

“Tidak perlu diundang, sahabat. Memang akan ku tunjuk juga, semoga pedang lengkukmu itu cukup kuat menatang seranganku”

Maka sekali lagi mereka berlaga besi mempamer kemahiran dan kekuatan mereka. Buah demi buah dikeluarkan, peluh yang keluar segera dikesat dan langkah yang hilang diatur semula. Mereka yang melihat jua terpesona dengan gerak geri mereka.

 Semuanya juga terleka sehingga terlupa akan ombak yang semakin meninggi, angin yang semakin kuat dan awan yang semakin gelap. Tidak lama untuk mereka sedar bahawa ribut semakin hampir.

“Berhenti!!” arah seuatu suara. Perlawanan yang semakin hangat itu berhenti tiba-tiba. Teriakan dan sorakkan yang tadinya meriah terus sunyi apabila melihat kelibat Tuan Jurangan.

“Tuan?”

“Lihat disekelilingmu, ribut semakin melanda dan yang lebih teruk lagi, ini adalah kawasan Lanun Ribut”

Desas desus dikalangan awak-awak semakin kuat. Lanun Ribut adalah diantara lanun yang paling merbahaya diperairan Melati. Mereka hanya menyerang dikala ribut melanda dan mereka akan merampas apa sahaja yang mereka lihat termasuk nyawa.

“Ayuh, bersedia di posisimu.  Siapkan lela, pemuras dan apa jua senjatamu, kita harus bersedia untuk apa saja bahaya yang mendatang.”

Seusai itu kesemua awak-awak bertaburan mengambil posisi masing-masing. Ketika Nuruddin ingin ke posisinya, Nizam menahannya.

“Izinkan aku menyumbang kepada kekuatan angkatanmu, Nuruddin”

“Tapi kau ialah tetamuku, tanggungjawab kami untuk melindungi kamu”

“Percayalah, aku dan sahabatku bukanlah saudagar biasa. Kami mempunyai kemahiran lebih dari itu”

“Aku dapat lihat itu”

“Jadi, adakah aku mendapat kebenaranmu, tuan nakhoda?”, tanya Nizam sambil merenung tajam ke arah Nuruddin.

“Terpulang kepadamu, Nizam. Aku tidak mampu untuk menghalangmu sekarang”, jawab Nuruddin sambil melangkah pergi.

“Dan aku bukan nakhoda. Sekurang-kurangnya bukan sekarang”, katanya lagi. Nuruddin hanya tersenyum. Namun tiada mereka tahu yang saat itu ialah kali terakhir mereka bertemu untuk satu tempoh yang lama.
                                               

0 comments:

Total Pageviews