by: Virtual Writer
Bab 1
Kuda putih itu kelihatan terangguk-angguk apabila kepalanya diusap. Tangan yang mengusap kepalanya dirasakan amat hangat dan tenang. Tuannya yang dikasihi itu telah bersama-sama dengannya selama beberapa tahun. Susah senang dihadapinya bersama. Malah ketika ia dilahirkan dulu, tuannya yang masih seorang kanak-kanak sedang merenungnya dengan mata biru yang bersinar-sinar.
“Kau cantik macam selalu, Trio.” Puji tuannya dengan senyuman dan seperti memahami, kuda putih bernama Trio itu mula berbunyi sambil menghentak-hentakkan kakinya perlahan di dalam bangsal yang penuh dengan jerami itu.
“Huhh… kalaulah Trio tu perempuan, mesti kau nak kahwin dengan dia kan?” Sampuk satu suara di pintu masuk bangsal itu.
Guren pantas berkalih hanya untuk melihat sepupunya, Hyden sedang bersandar di dinding dengan senyuman nipis. Hyden yang lengkap berpakaian perang sambil memegang sebilah pedang kemudian berjalan masuk ke dalam bangsal menghampiri seekor kuda berwarna coklat yang petaknya terletak di sebelah petak Trio.
“Apa kau buat di sini” Guren menyoal sepupunya itu. Lelaki itu ternyata kelihatan lebih besar dan gagah darinya walaupun Hyden sebenarnya dua tahun lebih muda daripadanya. Hubungan mereka tidaklah serapat mana walaupun mereka sebenarnya pernah bermain bersama-sama ketika kecil-kecil dahulu.
Hyden tidak tinggal bersamanya sebaliknya di kediaman yang dibina khas untuk golongan bangsawan sepertinya. Sekali-sekala, Hyden akan berkunjung ke istana untuk berlatih dan menunggang kuda. Sekali pandang kedua-dua saudara sepupu itu memang tampak rapat seperti belangkas, namun hanya kedua-duanya tahu serapat mana hubungan kekeluargaan mereka itu.
Hyden tersenyum lagi menonjolkan wajah kacak kelakiannya itu. Sekurang-kurangnya dia tampak lebih berkeyakinan dan maskulin daripada sepupunya. “Aku datang ke sini mestilah sebab aku nak jumpa sepupu kesayangan aku ni. Bakal pemerintah Criscendo yang hebat dan kuat yang disayangi rakyat jelata ni.” Suaranya kedengaran menyindir di telinga Guren namun dia hanya memilih untuk berdiam diri.
Guren mula memakaikan pelana di belakang badan Trio dan menarik kuda itu keluar dari bangsal. Hari itu dia mahu bersiar-siar dengan kuda kesayangannya itu.
“Hei, kau rasalah apa yang orang lain akan kata kalau diorang tahu kau kalah pada aku masa lawan pedang minggu lepas? Ah… bidikan anak panah kau pun tak pernah kena tepat, kan?” Hyden menyoal dengan nada suara yang agak tinggi dan mengejek. Dia turut menarik keluar kudanya dan berjalan di sisi Guren sambil menyepak-nyepak batu di tanah. Cuaca pagi di Criscendo memang mendamaikan namun dia sengaja mahu menyakitkan hati sepupunya itu.
Guren masih mendiamkan diri.
“Humph.. dengan status kau sebagai putera mahkota, semua orang akan menangkan kau. Cikgu-cikgu kita pun hanya tutup sebelah mata kalau aku mendahului kau dan akhirnya kau juga yang dipuji. Rekod kau sentiasa baik di hadapan ayahanda kau. Tapi cuba kau bayangkan kalau semua orang tahu yang putera Criscendo ni taklah sehebat mana.” Hyden menyambung namun kali ini dengan suara yang penuh dendam. Perasaan tidak puas hati dengan perbezaan layanan dan status berbanding dengan Guren kian menebal. Hanya kerana dia bukan putera mahkota. Hanya kerana dia anak kepada adik Raja Negara itu. Hyden hanyalah anak bangsawan yang sampai bila-bila pun tidak akan bersinar meskipun sekuat mana dia berusaha.
“Jadi kau tak puas hati dengan aku kah, Hyden?” Guren membuka mulut akhirnya sambil mula memanjat ke belakang Trio. Dia membetulkan duduknya sebelum mula menendang badan kudanya perlahan supaya Trio mula berlari tanpa menunggu jawapan Hyden.
Hyden mengetap bibirnya geram. Dirasakan Guren terlalu angkuh.
*****
Guren vi Criscendo menghela nafas berat. Dia faham maksud kata-kata Hyden itu dan dia mengakui kebenarannya, maka sebab itu dia memilih untuk berdiam diri. Dia sedar dirinya tidak sekuat mana. Dia tidak pandai berlawan pedang malah dia tidak pandai dalam seni mempertahankan diri. Dia selalu tewas apabila berlatih dengan sepupunya dan dia sedar sejak kecil sepupunya itu akan memandangnya dengan pandangan mata yang tidak puas hati.
Namun apabila dia tercedera, Hyden sentiasa dipersalahkan. Guru-gurunya hanya tersenyum padanya apabila dia tewas dan dia tidak pernah melihat walau sekalipun Hyden dipuji. Di hadapan ayahandanya, guru-gurunya selalu mengatakan yang dia amat cemerlang dalam apa jua bidang hinggakan dia digelar putera yang sempurna. Namun dia tahu yang semuanya palsu belaka. Dia tidak kuat, bertubuh kecil malah bukan seorang yang berani juga. Kadang-kadang dia hanya mahu hidup seperti orang biasa tanpa perlu cuba membuktikan diri setiap hari. Di hadapan ayahandanya, Guren sentiasa tersenyum cuba bersikap lebih kuat kerana setiap hari ayahandanya akan menepuk bahunya sambil berkata, “Anakku, kamulah pewaris takhta Criscendo yang kuat dan gagah. Semoga satu hari nanti kamu menjadi raja yang disegani rakyat jelata.”
Dan Guren selalu mengeluh di dalam hatinya kerana dia sedar yang dia mungkin akan menghampakan harapan ayahandanya satu hari nanti.
Guren meluaskan pandangannya ke arah bukit-bukau yang menghijau. Dirasakan Criscendo ialah sebuah Negara yang aman dan tenang. Negara itu terbahagi kepada empat daerah utama yang dipisahkan dengan aliran sungai dan banjaran Torapsy. Setiap kawasan mempunyai namanya tersendiri, Vinem, Dante, Krutz dan Plato. Istana besar Criscendo terletak di daerah Vinem iaitu di utara Criscendo. Setiap daerah mempunyai sebuah pusat Bandar yang mana setiap Bandar diketuai oleh seorang Kolonel tentera. Kolonel-Kolonel itu akan melaporkan keadaan di daerah-daerah mereka kepada Jeneral yang berpusat di Vinem yang juga merupakan penasihat Raja Criscendo.
Fikiran Guren terarah kepada Jeneral Xavier, lelaki berusia 50-an yang telah lama menjawat jawatan sebagai penasihat kepada ayahandanya. Menurut ayahandanya, Jeneral Xavier telah berada dalam angkatan tentera semenjak pemerintahan ayahanda kepada ayahnya lagi dan merupakan orang yang paling berpengalaman dalam pentadbiran Negara itu.
Ayah saudaranya pula iaitu ayah kepada Hyden juga pernah menjadi seorang yang berpengaruh dalam kerajaan. Namun, dia sedar yang hubungan kedua-dua beradik itu tidaklah begitu rapat kerana ayahandanya telah mengusir keluar adiknya itu dan membina kediaman baru untuk keluarga itu. Tujuannya adalah supaya tidak berlaku rampasan kuasa kelak sekiranya sokongan rakyat jelata mula beralih arah kepada adiknya itu pula. Namun, Hyden tidak pernah dilarang untuk datang ke istana.
Mata Guren menatap jauh ke banjaran Torapsy. Ada sesuatu tentang tempat itu yang menggamit keinginannya. Dia tidak pernah menjejakkan kaki keluar dari Daerah Venam dan kadang-kadang dia teringin benar hendak mengembara sendirian dan melupakan statusnya sebagai bakal pemerintah Negara itu. Sejujurnya, dia tidak pernah peduli dengan soal politik dan pentadbiran dan hanya mahu hidup bebas dan berkelana. Dia hanya mahu menemui seseorang, seseorang yang pernah bertemu dan berkawan dengannya semasa dia masih seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa.
“Tuan Putera!” Dari jauh kedengaran suara seseorang menyerunya lalu dia segera menarik tali pelana untuk menghentikan Trio yang masih kencang berlari itu. Kuda itu mula memerlahankan langkah dan Guren melihat seorang lelaki berjubah putih sedang menunggang seekor kuda menghampirinya.
“Ogwan!” Tegurnya sambil tersenyum melihat lelaki tampan yang berusia 30-an dan berperawakan amat tenang itu.
“Sedang menikmati pagi yang indah?” Ogwan menyoal dengan senyuman di bibirnya. Guren mengangguk sambil membetulkan rambut perangnya itu. Dia mengaku yang dia amat menyenangi lelaki di hadapannya itu. Dianggapnya Ogwan sebagai seorang abang dan dia tahu yang lelaki misteri itu seperti mempunyai satu daya penarik yang amat kuat terhadap dirinya.
“Putera dah berlatih?” Suara Ogwan lembut menyoal. Guren menggeleng perlahan sambil menundukkan wajahnya.
“Puteraku, tuan perlu berlatih. Tuan juga tahu yang tuan ialah bakal pemerintah Negara kita. Tuan perlu jadi lebih kuat untuk ayahanda tuan dan untuk bumi Criscendo. Dan tuan juga perlu bersedia untuk menghadapi ancaman lelaki dalam ramalan patik.”
“Maksud kamu, ramalan tentang lelaki yang akan membunuh aku satu hari nanti?”
Ogwan mengangguk. “Tuan perlu bersedia untuk membunuh lelaki itu apabila bertemu dengannya nanti.”
“Tapi, aku tak mahu membunuh…” suara Guren kedengaran perlahan dan tubuh kecilnya yang berusia 17 tahun itu sedikit terangkat apabila Trio melompat sedikit kerana terpijak batu.
“Puteraku, menjadi seorang raja memerlukan pengorbanan. Lelaki itu harus mati supaya tuan terus hidup. Walaupun dahulu ayahanda tuan dah membunuh bayi lelaki yang lahir pada hari yang sama dengan tuan, tapi ramalan patik mengatakan yang lelaki itu masih hidup. Dan dia akan datang membunuh tuan satu hari nanti. Sebab itu tuan perlu membunuhnya. Inilah takdirmu, wahai puteraku.”
“Tapi, macam mana aku akan tahu siapa lelaki tu? Aku tak pernah berjumpa dengan dia sebelum ni.” Soal Guren masih tidak berpuas hati.
“Tuan pasti akan tahu sebab nasib tuan dan lelaki itu terikat antara satu sama lain. Apabila kamu berjumpa, kamu pasti akan tahu.” Ogwan membalas lembut.
-bersambung di BAB 2-
0 comments:
Post a Comment