Followers

Cerpen : Butterfly X

| Wednesday 18 July 2012 | |
Butterfly X
Oleh: A-RA



Elipsie. Mengikut kamus bahasa kuno masyarakatnya, perkataan Elipsie bermaksud cantik. Dan dia akui, satu ketika dahulu  negara yang dicintai ini memang cantik. Elipsie adalah salah satu negara terbaik di Jajaran Kalistiwa.Walaupun pembangunan pesat dijalankan namun ia belum lagi mencalar keindahan alam semulajadi bumi Elipsie. Kehijauannya masih terpelihara. Bunga-bunga masih mampu hidup mekar di kaki-kaki bukit yang menghijau. Sungainya terpelihara. Airnya masih jernih. Lautnya masih membiru.
Bandar Emperor, ibu kota Negara Elipsie sangat terancang pembangunannya. Di bawah pemerintahan  Maharaja Fahrime yang dibantu Perdana Menteri Akhil Levi, negara yang kaya dengan sumber alam petroleum ini sangat makmur. Ekonominya kukuh. Kekayaan sumber alam dikongsi bersama. Semua rakyat menerima layanan yang sama rata tidak kira darjat atau keturunan.
Ya, Elipsie sangat sesuai dengan namanya. Tapi itu semua satu ketika dahulu. Ketika negara ini belum lagi ditadbir pemimpin yang korup dan kotor. Kemakmuran yang dibanggakan satu ketika dahulu musnah sama sekali saat takhta Maharaja Fahrim ‘dirampas’ saudaranya sendiri. Kehebatan negara ini jatuh saat kuasa Perdana Menteri Akhil Levi ditarik dan lelaki itu dijatuhkan hukuman mati atas dakwaan cuba mengulingkan kerajaan.
Kini, setelah hampir  20 tahun, negara ini sudah semakin hilang serinya. Selama 20 tahun ini, rakyat Elipsie mula kenal erti derita. Jurang antara masyarakat mula tercipta. Yang kaya semakin kaya. Yang miskin semakin papa. Penindasan demi penindasan dilakukan pihak pemerintah. Tiada siapa yang berani bertindak melawan ketidak adilan ini. Jika ada yang berani memberontak, hukuman akan dijatuhkan. Gurun Klahara yang kering dan gersang akan menjadi tempat tinggal baru mereka.
Namun dalam diam, sekumpulan manusia mula mengatur langkah. Gerakan bawah tanah yang diwujudkan sejak kematian Akhil Levi akan mula memunculkan diri. Setelah 20 tahun, ‘kepompong’ yang selama ini disembunyikan akan muncul melebarkan sayap. Setelah 20 tahun, Butterfly X akan melaksanakan sumpah mereka...
***
Stadium Emperor...
Suasana hingar bingar memenuhi ruang stadium yang berkapasiti 20,000 orang  itu.  Hari ini merupakan majlis ulangtahun kelahiran Maharaja Fatrime, raja boneka seperti yang digelarkan sebahagian dari rakyat jelata yang membencinya. Satu majlis keraian diadakan pihak kerajaan yang diketuai Gabenor Guan demi meraikan raja yang hanya tahu berhibur itu. Sementara menunggu acara kemuncak yang dijadualkan dalam masa 10 minit lagi, hadirin yang rata-ratanya adalah dari golongan bangsawan itu dihiburkan dengan acara hiburan dari artis-artis ternama Elipsie.
Di  sudut atas kiri stadium yang sedikit tersembunyi,  seorang gadis berkelubung hitam sudah bersedia dengan selaras sniper gun di tangan. Di sudut kanan, seorang lelaki yang juga berkelubung hitam turut bersedia dengan sniper gunnya. Jam di tangan masing-masing sudah diselaraskan masanya. Airis menjeling sekilas jam di tangan. Tiga minit lagi sebelum tugasnya bakal diselesaikan.
“Sasaran sudah masuk ke dalam stadium.” Satu suara milik seorang gadis kedengaran melalui alat pendengar di telinganya.
“Airis... Xavier. In position.” Arah satu suara garau pula.
Roger!” Jawab Airis serentak dengan temannya yang dipanggil Xavier tadi.
“Lepas ni kita makan besar!” Ujar satu lagi suara garau.
Shut up, Jax! Makan saja yang kau ingat!” Marah gadis tadi.
“Relaxlah Indie. Makanan tu tenaga tahu?”
“Tapi kalau berlebihan boleh jadi penyakit, tahu?”
“Itu kalau kat kaulah!”
“Jax!”
“Jax, Indie. Both of you shut up! Kita ada kerja yang perlu diselesaikan!” Tempelak Dyh. Ketegasan yang kedengaran di dalam suara Dyh yang merupakan ketua mereka berlima membuatkan Jax dan Indie mendiamkan diri.
“Targets are in view.” Ujar Dyh yang berada di bahagian tengah stadium.
Dari tempatnya Airis melihat sasaran yang dimaksudkan  Dyh. Tuan Nawar dan Tuan Lakrshi, Menteri Kanan Elipsie yang memegang portfolio Ekonomi dan Sumber Alam sedang berjalan menuju ke arah pentas utama. Mereka adalah di antara menteri-menteri yang mengiringi Maharaja Fatrime ke arah tempat VVIP yang disediakan di atas pentas utama. Mereka di awasi beberapa orang lelaki dan wanita yang berseragam hitam lengkap dengan senjata masing-masing. Sentinel, pasukan keselamatan yang ditubuhkan oleh Gabenor Guan demi untuk menjaga keselamatan Elipsie atau lebih tepat lagi keselamatan anggota kerajaannya.
“Bersedia semuanya.” Dyh memberikan arahan. Airis menumpukan sepenuh perhatian kepada sasarannya, Tuan Nawar. Dia tahu di sebelah sana, Xavier juga sudah bersedia dengan sasarannya Tuan Lakrshi.
Bunyi sorakan kedengaran saat Maharaja Fatrime bangun melambai ke arah rakyatnya. Tuan Nawar dan Tuan Lakrshi turut bangun melambai.
“Airis...” Sebut Dyh.
Airis memejamkan matanya.
“Xavier...”
Beberapa saat kemudian dia membuka mata. Iris mata bertukar warna. Dari hitam ke topaz. Serentak dengan itu  sebuah lambang rama-rama muncul di pergelangan tangannya.
“Shoot!”
Dua das tembakan dilepaskan dari sudut berbeza. Suara sorakan bertukar pekikan sebaik sahaja dua orang menteri kanan kerajaan tumbang menyembah bumi. Beberapa orang anggota Sentinel meluru ke arah Maharaja Fatrime yang sudah tunduk ketakutan.
Keadaan menjadi hiruk pikuk. Orang ramai mula lari menyelamatkan diri. Namun kesemua pintu automatik keluar masuk stadium sudah ditutup dan dikunci oleh Indie dan Jax. Belum masanya mereka keluar. Ada satu lagi persembahan yang harus mereka tontoni.
“Indie...sekarang!” Arah Dyh.
Alrighto! Transmission starts now!”
Serentak dengan itu satu suara garau bergema di setiap pelusuk stadium.
“Salam sejahtera...”
Suara hingar bingar tadi mulai kendur. Beberapa saat selepas suara itu memberi ucapan salam, skrin besar di tengah stadium menyala. Wajah seorang lelaki bertopeng muncul di skrin.
“Selamat ulangtahun tuanku.” Ucap suara itu sinis. Airis tersenyum sinis melihat wajah Maharaja Fatrime yang kepucatan.
“Harap tuanku terima ‘hadiah’ yang kami berikan khas untuk tuanku. Anggaplah hadiah ini sebagai balasan terhadap budi baik yang tuanku dan Gabenor Guan telah berikan kepada seluruh penduduk Elipsie. Dan ini, suka kami ingatkan, hanyalah permulaan. Banyak lagi hadiah yang akan kami berikan kepada tuanku dan orang-orang tuanku. Dan ia akan berterusan sehinggalah tuanku kembalikan segalanya kepada yang berhak!”
Wajah Maharaja Fatrime kembali pucat. Pandangan Airis beralih pula kepada Gabenor Guan. Wajah lelaki itu nampak tenang pada permukaannya namun melalui kelebihan yang dimiliki Airis, dia dapat melihat perasaan lelaki itu yang sedang ketakutan.
“Elipsie! Zaman kegelapan kita akan berakhir. Kami akan pastikan Elipsie kembali gemilang seperti dahulu. Marilah bersama kami menentang ketidak adilan ini!” Kata-kata semangat daripada lelaki bertopeng itu tidak disahut sesiapa. Reaksi yang sudah dijangkakan oleh Airis kerana rata-rata yang berada di dalam stadium ini adalah golongan bangsawan yang bersekutu dengan Gabenor Guan dan Maharaja Fatrime.
“Kami akan dapatkan kembali Elipsie. Ini janji kami...” Skrin menjadi hitam. Wajah lelaki bertopeng tadi sudah tidak kelihatan lagi. Yang muncul kini adalah gambar seekor rama-rama berwarna hijau, merah jambu, ungu, oren dan hitam dengan huruf X di tengah-tengahnya.
Suara-suara halus mula kedengaran. Dari perlahan terus menjadi kuat. Dan dari tempat dia bersembunyi, Airis mendengar dengan jelas apa yang disebut mereka.
“Butterfly X? Siapa mereka?”
***

“Ini sangat memalukan!” Bentak Gabenor Guan. “Macam mana kau kendalikan urusan keselamatan ni, Azham? Sampai dua orang menteri aku mati? Dan siapa Butterfly X? Siapa mereka yang berani terang-terangan menentang aku?” Tempik Gabenor Guan untuk kesekian kalinya. Perasaan amarah dan malunya bercampur aduk. Belum pernah dia dimalukan sebegini rupa. Jatuh reputasinya sebagai Gabenor!
“Kami akan siasat hal ini Gabenor.” Jawab Azham, ketua tertinggi pasukan Sentinel.
“Siasat...siasat...siasat! Itu sahaja yang aku dengar dari mulut kau sejak tadi!” Tempelak Gabenor Guan. “Aku tak peduli. Kau kerahkan orang-orang kau supaya tangkap Butterfly X! Atau kau boleh lupakan terus niat kau mahu menjadi Menteri Keselamatan Elipsie.” Ugut Gabenor Guan sebelum dia keluar meninggalkan bilik Tuan Azham di Bangunan Sentinel.
Sebaik sahaja kelibat Gabenor Guan hilang di balik pintu, Tuan Azham menarik nafas panjang. Pelipis kanannya diurut kuat. Sakit kepalanya memikirkan kata-kata Gabenor Guan tadi. Dia harus bertindak cepat. Butterfly X harus ditangkap atau dia terpaksa melupakan cita-citanya yang mahu menjadi Menteri Keselamatan Elipsie. Sudah bertahun-tahun dia berkerja keras untuk mendapat perhatian daripada Gabenor Guan. Dia tidak boleh mempersia-siakan usahanya selama ini.
“Kyrian!” Panggil Tuan Azham.
Kyrian yang sejak tadi hanya membatukan diri di sudut kanan bilik itu bergerak menghampirinya.
“Tuan?”
Wajah anak muda yang menjadi orang kepercayaannya selama ini dipandang dalam. Hanya pada anak muda ini dia bergantung harap. Kyrian adalah harapan terakhirnya demi untuk memastikan rancangannya selama ini berjalan lancar.
“Kita kena tangkap Butterfly X. Kau harus bantu aku dalam perkara ini!”
Kyrian menundukkan kepala tanda faham.
“Aku mahu kau sendiri yang mengetuai tugasan ini. Ingat Kyrian, apa pun yang terjadi, Butterfly X harus ditangkap dan dimusnahkan.”
“Saya faham tuan. Saya akan pastikan Butterfly X tidak akan wujud lagi di Elipsie.”
Tuan Azham mengangguk puas hati. Bahu anak muda itu ditepuk-tepuk perlahan.m “Bagus. Tidak sia-sia aku melatih dan menjaga kau selama ini. Ibu bapa kau pasti berbangga dengan kau jika mereka masih hidup, Kyrian.”
Kyrian hanya mendiamkan diri. Tiada rasa yang dirasai di jiwa ketika nama ibu bapanya disebut. Ingatannya terhadap kedua mereka yang mati hampir 20 tahun yang lalu hanya samar-samar. Tiada satu pun kenangan bersama mereka yang diingatinya dengan jelas. Yang dia tahu ibu bapanya mati dibunuh. Dia sendiri hampir menjadi mangsa tetapi berjaya diselamatkan Tuan Azham. Jadi sekarang yang penting baginya adalah untuk membuat lelaki ini berbangga dengan dirinya. Bukannya untuk orang lain.
***
Pusat Kerajaan Elipsie...
Airis meletakkan telapak tangannya ke atas alat pengimbas di pintu masuk Bangunan Gabenor. Nama Izuin Alyas dengan jawatan Pegawai Analisis muncul di skrin di bilik kawalan. Sebaik sahaja tanda hijau muncul di alat pengimbas, pintu kaca di hadapannya terbuka. Airis tersenyum ke arah pegawal keselamatan yang berkawal di kiri kanan pintu.
Sudah seminggu dia menjadi Izuin Alyas di sini. Semuanya demi untuk mendapatkan peluang mendekati Gabenor Guan. Bukan sebarangan orang boleh masuk ke dalam Bangunan Gabenor. Hanya pekerja di bawah Jabatan Gabenor dan Majlis DiRaja sahaja yang dibenarkan masuk. Dan sejak kemunculan Butterfly X dua minggu yang lalu, langkah keselamatan semakin  ditingkatkan. Namun itu semua bukan penghalang Airis dan kumpulannya. Kebijaksanaan Indie dan Jax dalam bidang teknologi membolehkan mereka mencipta identiti baru. Mereka boleh menjadi sesiapa sahaja pada bila-bila masa.
Airis meletakkan beg bimbitnya di atas meja sebaik sahaja dia memasuki ruang kerjanya di tingkat 17. Kelibat seorang lelaki bersuit hitam memasuki bilik pantry yang terletak berhampiran dengan kubikalnya mengamit pandangan Airis. Isyarat mata yang diberikan lelaki itu membuatkan Airis mencapai mug di atas meja lalu dia bergerak menuju ke bilik pantry.
“Hari ini.” Beritahu lelaki yang memakai suit berwarna hitam tadi.
“Dia akan masuk?”
“Ya. Teruskan seperti yang dirancang.”
Airis mengangguk sambil tersenyum. Dengan mug di tangan dia kembali ke mejanya. Pandangannya dihala ke bilik paling hujung di aras itu. Satu senyuman penuh makna terbit di bibirnya. Hari ini. Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.
***
Waktu rehat tengah hari. Kebanyakkan kakitangan di Aras 15 sudah turun ke kafetaria di tingkat bawah. Yang tinggal hanya dua tiga orang kakitangan yang lebih senang membawa bekal ke pejabat. Namun kehadiran mereka tidak sedikit pun menganggu misi Airis. Airis melirik ke arah bilik hujung. Kelihatan dua orang anggota Sentinel berkawal di hadapan pintu bilik tersebut. Jam di tangan dipandang seketika. Dua minit lagi.
Airis bangun dari tempatnya bersama dengan sebuah fail lalu bergerak perlahan menuju ke bilik hujung. Sebaik sahaja dia sampai di hadapan kedua anggota Sentinel itu, dirinya dihalang.
“Saya ada sesuatu untuk Gabenor Guan,” beritahu Airis lembut sambil tersenyum manis ke arah anggota Sentinel itu.
Kad pekerja yang tersemat di poket blazer Airis dibelek salah seorang anggota Sentinel itu. “Kad merah. Kamu cuma pegawai biasa. Tiada kebenaran untuk kamu menemui Gabenor.”
Airis cuma tersenyum. Benar. Dia berada di dalam kumpulan pegawai biasa. Hanya kumpulan pegawai eksekutif yang memakai Kad Hijau sahaja yang boleh menemui Gabenor.
“Tapi saya betul-betul ada urusan dengan Gabenor. Saya perlu serahkan fail ini kepada dia.”
Anggota Sentinel itu hanya mendiamkan diri. Kata-kata Airis dibiarkan sepi. Mereka kembali berdiri tegak di hadapan pintu bilik itu.
“Encik, benarkan saya masuk?” Pinta Airis. Namun permintaannya masih tidak diendahkan.
“Betul encik takkan benarkan?” Tanya Airis lembut. Mereka tetap membatukan diri.
Airis menarik nafas dalam-dalam. Matanya dipejamkan seketika. Beberapa saat kemudian dia membuka kembali matanya. Irisnya sudah bertukar warna. Simbol rama-rama di pergelangan tangannya muncul.
“Masih tidak mahu benarkan?” Tanya Airis dingin. Mata kedua anggota Sentinel itu terbeliak. Serentak dengan itu penggera di Bangunan Guan berbunyi.
“Butterfly X!” Kata mereka serentak.
Pistol yang tersisip dipinggang masing-masing dicapai namun pergerakkan Airis lebih pantas. Tangan anggota Sentinel di sebelah kanan dipulas ke belakang sementara kaki kirinya menendang bahagian bawah perut yang seorang lagi. Senjata mereka jatuh ke bawah lalu ditendang Airis jauh. Kepala anggota Sentinel yang dipulas tangannya tadi dipulas Airis hingga tengkuknya patah. Manakala anggota Sentinel yang ditendang tadi dikelar lehernya dengan pisau yang tersisip di kakinya.
Airis membuka tombol pintu bilik. Sebaik sahaja kakinya masuk ke dalam bilik yang menjadi pejabat Gabenor Guan, dahinya berkerut seribu. Bilik yang dikelilingi dinding kaca itu tidak berpenghuni. Kerusi yang sepatutnya diduduki Gabenor Guan kosong! Perasaan kurang enak tiba-tiba dirasainya. Tangan kanannya pantas mahu mencapai baretta yang disembunyikan di pinggang namun belum sempat dia berbuat demikian, kepalanya dicucuk dengan sesuatu yang dingin. Airis tersentak!
“Game over, Butterfly X...” Ucap satu suara garau di belakangnya.
Airis mengetap gigi. Perangkap! Ini semua adalah perangkap! Bisik hatinya.
“Tak sangka, aku cuma perlukan masa selama dua minggu untuk tangkap kau!” Ujar suara itu lagi. “Nampaknya kau tidaklah sebijak yang dikatakan. Keinginan kau yang mahukan Gabenor Guan akhirnya memakan diri sendiri...” Sindir suara itu.
Hati Airis membara. Geram bila dirinya dianggap bodoh oleh lelaki itu. Matanya dipejam kuat. Tangan kanannya digenggam kuat. Simbol rama-rama tadi bertukar warna. Dari hitam menjadi merah. Saat matanya dibuka, sepasang irisnya juga bertukar warna yang sama.
Tanpa berlengah Airis melutut. Pergerakkannya yang terlalu pantas membuatkan lelaki di belakangnya tergamam. Peluang itu digunakan Airis untuk menendang kaki lelaki tersebut. Dalam kekalutan lelaki itu cuba mengimbangkan diri, Airis mencapai baretta yang tersisip di pinggangnya. Dia melompat bangun lalu menghalakan muncung barettanya ke arah lelaki tadi yang sudah jatuh terbaring.
Game over Senti...” Tiba-tiba Airis. Matanya bulat merenung lelaki yang turut sama tergamam memandangnya. Wajah itu...
“Riri?” Seru lelaki itu perlahan.
Jantung Airis berdetak laju. Riri. Nama yang sudah lama tidak didengarnya. Sebaris nama itu pernah menjadi miliknya satu ketika dahulu. Hanya mereka yang rapat dengan dirinya sahaja yang memanggilnya dengan nama itu. Mama, papa dan Kyrian. Namun nama itu sudah terkubur bersama jasad ibu dah ayahnya.
“Ini Riri, bukan?” Tanya Kyrian sekali lagi sambil bangun.
“Berhenti!” Arah Airis bila dilihat Kyrian cuba mendekati dirinya.
“Riri? Ini Kyr. Riri dah lupa? Mana Riri pergi selama ini?  Kenapa Riri tinggalkan Stonehaven?” Tanya Kyrian bertalu-talu. “Aku bukan Riri!”
“Bohong! Kyr mungkin lupa banyak perkara dalam hidup Kyr tapi Kyr tak pernah lupakan Riri!” Pelik. Dia tidak ingatkan ibu dan bapanya namun wajah gadis ini masih utuh dalam fikirannya. Sampai bila-bila pun tidak mungkin dia akan dapat melupakan wajah gadis berlesung pipit di kedua belah pipinya ini.
Airis terdiam. Separuh hatinya mahu mengiyakan kata-kata lelaki itu. Namun separuh lagi bertegas mahu menafikan. Mereka bukan seperti dahulu lagi. Mereka bukan lagi Riri dan Kyrian yang hidup riang tanpa gangguan di Stonehaven. Mereka kini adalah individu yang berbeza. Dia, Airis. Anggota Butterfly X yang dikehendaki pihak berkuasa. Dan lelaki di hadapannya ini adalah Kyrian, seorang Sentinel. Pihak yang bertanggungjawab untuk menangkap dia dan rakan-rakannya.
Airis menghalakan muncung barettanya tepat ke muka Kyrian. “Ke tepi.” Airis mengarah Kyrian.
“Tidak! Kyr tak boleh lepaskan Riri lagi.”
Airis ketawa dingin. “Kau bercakap sebagai Kyrian atau Sentinel?”
“Sebagai seseorang yang menyayangi Riri!”
Airis terkedu. Ada satu perasaan aneh muncul di hati kala itu namun cepat ditepis. Dia menelan liur yang terasa kesat di tekak.
“Kalau kau benar sayangkan aku, biarkan aku keluar dari sini Kyrian.”
“Tidak Riri! Kyr tak akan benarkan Riri terus begini. Apa yang Riri lakukan sekarang adalah salah! Tinggalkan Butterfly X. Kyr akan merayu pada Gabenor Guan dan Maharaja Fatrime agar berikan pengampunan kepada Riri. Ikut Kyr, Riri!”
“Pengampunan? Atas kesalahan apa? Adakah tindakan kami cuba menegakkan keadilan untuk Elipsie satu kesalahan?”
“Keadilan apa, Riri? Apa yang cuba Butterfly X perjuangkan? Tidak cukupkah lagi apa yang sudah pihak kerajaan lakukan?” Tukas Kyrian.
Airis mengeleng. “Ramai rakyat yang tertindas! Yang kaya bertambah kaya. Yang miskin semakin papa. Itu yang kau katakan cukup?”
“They are trying their best, Riri! Tiada kerajaan yang sempurna di dunia ini.”
“Ada Kyrian! Ada. Elipsie pernah sempurna satu ketika dahulu sebelum Guan dan Fatrime musnahkan segala-galanya!” Bentak Airis.
“Kami akan pastikan negara ini kembali seperti dulu. Kami akan pastikan Guan dan orang-orangnya musnah!” Ikrar Airis.
“Kyr tak akan benarkan, Riri!”
“Jadi bunuh aku sekarang. Hanya itu sahaja cara untuk aku berhenti, Kyrian.” Airis menjatuhkan tangannya ke sisi. Dia berjalan ke arah Kyrian. “Bunuh aku atau biarkan aku keluar dari sini, Kyrian.”
Melihat Kyrian mendiamkan diri, Airis tersenyum sinis. Langkahnya diatur menghampiri pintu.
“Berhenti, Riri!” Arah Kyrian. Di belakangnya Airis mendengar bunyi picu pistol ditarik.
“Bunuh aku. Itu sahaja cara untuk aku berhenti.” Balas Airis.
“Jangan paksa aku, Riri!”
Airis hanya tersenyum. Tangannya mencapai tombol pintu. Belum sempat daun pintu ditarik, ia sudah dibuka dari luar. Segalanya berlaku dengan pantas. Sebentar tadi dia berdiri membelakangkan Kyrian. Kini dia sudah berada di hadapan lelaki itu, cuba melindungi lelaki itu dari terkena bidikan baretta Xavier.
“Riri!” Jerit Kyrian. Tubuh Airis dipeluk dari belakang. Ada cecair hangat dirasakan mengalir di lengannya.
“Jahanam!” Bentak Kyrian sebaik sahaja melihat darah merah keluar dari bahagian atas dada kiri Airis. Baretta di tangannya diacukan ke arah lelaki yang tergamam di hadapannya.
“Kyrian, jangan!” Airis menepis tangan Kyrian ke tepi, cuba menghalang dari peluru  senjata Kyrian mengenai tubuh Xavier. Namun tindakannya agak lambat. Sedas tembakan dilepaskan mengenai bahu kanan Xavier.
“Xavier!” Teriak Airis. Dia melepaskan diri dari pelukkan Kyrian lalu berlari mendapatkan Xavier.
“Kenapa?” Tanya Xavier perlahan sambil matanya memandang kesan tembakan di dada kiri Airis.
“Riri...” Kyrian cuba menghampiri Airis namun pergerakkannya terhenti bila Xavier menghalakan baretta milik Xavier ke arahnya.
“Xavier, jangan!” Tegah Airis. Kepalanya terasa berpusing. Darah yang keluar dari lukanya semakin banyak. Kesakitan yang dirasakan sudah tidak terperi lagi. Di luar bilik dia dapat mendengar derapan beberapa pasang kaki sedang menghampiri tempat mereka.
“Kita kena keluar. Pasukan Sentinel semakin menghampiri...” Ujar Airis perlahan.
Badan Airis segera dicempung Xavier. Dengan baretta yang masih diacukan ke arah Kyrian, Xavier bergerak menghampiri  dinding berhampiran meja Guan. Beberapa das tembakan dilepaskan ke arah dinding kaca. Angin deras menderu masuk sebaik sahaja dinding kaca itu berderai.
Tubuh Airis yang semakin lemah dipegang erat oleh Xavier. Dia sudah bersedia mahu melompat turun ke bawah namun pergerakkannya terhenti bila mendengar Kyrian menyeru nama Airis.
“Riri!” Panggil Kyrian.
Airis berpaling ke arah Kyrian. Bibirnya menguntum senyuman lemah. Peristiwa yang berlaku satu ketika dahulu terbayang di layar ingatan Airis. “Kau pernah luka demi aku satu masa dahulu, Kyr. Dan hari ini, anggaplah aku sudah membayar hutang itu. Lupakan Riri. Dia dah mati saat mama dan papa dikuburkan. Selepas ini kita bukan lagi...” Kata-kata Airis mati di situ. Matanya sudah tidak mampu terbuka lagi...
“Airis!” Panggil Xavier namun gadis itu sudah tidak sedarkan diri lagi. Matanya dipejamkan, mengumpul tenaga sebanyak mungkin untuk digunakan bagi menampung dirinya dan Airis. Tubuh Airis dipeluk erat. Sebelum dia melompat turun, dia sempat berpaling ke arah Kyrian. Pandangan penuh dendam ‘dihadiahkan’ kepada Kyrian.
Kau akan terima pembalasannya, Sentinel! Lafaz Xavier dalam hati sebelum melompat turun bersama Airis.
Kyrian berlari ke arah dinding tersebut lalu memandang ke bawah. Kelibat Xavier dan Airis sudah tidak kelihatan. Dia terduduk. Fikirannya kosong tiba-tiba. Matanya meliar memandang sekeliling. Pandangannya tiba-tiba terhenti ke arah sebuah objek yang berkilau berhampiran dengan lubang dinding tadi. Tangannya mencapai objek yang bersaiz sederhana itu. Objek itu dipandang lama.
“Riri...” Bisiknya perlahan sambil merenung objek di atas tapak yang merupakan sebuah kristal berbentuk rama-rama. Pandangannya dihala kembali ke luar. Anggota-anggota  Sentinel yang sudah memenuhi bilik itu tidak dihiraukan. Di dalam fikirannya kini hanya terbayang wajah Riri. Teman di zaman kanak-kanaknya yang kini sudah berubah menjadi orang lain. Apa yang dah berlaku pada kau, Riri?
***
Lima hari selepas itu...
“Tuan Kyrian, sidang akhbar akan dimulakan sebentar lagi.” Suara pembantu kanannya menyentak lamunan Kyrian. Kyrian mengangguk faham. Perlahan, rama-rama kristal di tangan dimasukkan ke dalam kotak kecil beralas kain sutera putih di atas meja. Kemudian kotak itu dimasukkan ke dalam laci mejanya lalu dikunci. Kyrian merenung kunci perak di tangan. Kunci itu kini bukan hanya sekadar kunci mejanya namun ia memberi makna yang lebih mendalam lagi. Kunci itu kini merupakan kunci kepada satu rahsia yang akan disimpan jauh di dalam sudut hatinya.
Kyrian menghela nafas panjang. Demi Tuhan, dia akan pastikan rahsia itu tersimpan utuh kerana dia tidak sanggup membayangkan apa yang akan terjadi jika rahsia hubungan dia dan Airis diketahui ramai. Dia sudah bertekad. Dia akan menyelamatkan Airis dari terus hanyut!
“Riri, mungkin kita sudah tidak berhutang lagi tapi rasa dalam hati Kyr ini tak mungkin akan terpadam untuk Riri. Kyr akan pastikan, Riri kembali kepada Riri yang Kyr kenali dulu. Ini janji Kyr!”
***
“Mulai hari ini, kelima-lima penjenayah ini akan menjadi buruan kita. Pihak Sentinel akan pastikan mereka semua akan diheret ke muka pengadilan! Jika ada pihak yang cuba membantu kumpulan Butterfly X akan disabitkan dengan kesalahan bersubahat dan akan dikenakan hukuman yang setimpal. Saya berharap seluruh rakyat jelata Elipsie akan bersama-sama Sentinel membenteras pemberontakkan yang hanya akan merugikan negara kita yang tercinta ini! Mulai hari ini, kita akan memerangi Kumpulan Butterfly X!” Ucapan Gabenor Guan yang penuh bersemangat disambut sorakan golongan bangsawan yang memenuhi auditorium. Masing-masing kelihatan teruja dengan pengisytiharan perang yang baru disebut Gabenor Guan.
Di luar auditorium lain pula suasananya. Hujan lebat yang turun tidak menghalang golongan rakyat kebanyakkan berkumpul. Suasana suram menyelubungi kawasan datran itu. Melalui skrin besar yang diletakkan di tengah-tengah dataran Elipsie, mereka hanya mampu menonton lakaran wajah lima orang wira mereka disiarkan. Ada yang mahu memberontak. Ada yang mahu menjerit marah. Namun demi melihat sekumpulan Sentinel yang berbaris di hadapan skrin besar itu, mereka hanya mampu menahan diri. Perang baru sahaja diisytiharkan. Ini juga bermakna, mereka tidak boleh lagi terang-terangan  menunjukkan sokongan kepada Butterfly X atau mereka akan dituduh bersubahat dan hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara seumur hidup di Gurun Klahara. Yang mampu mereka lakukan kini hanyalah berdoa agar Butterfly X tidak akan menyerah kalah.
***
Di atas bumbung salah sebuah bangunan berhampiran dataran...
“Maknanya kita sekarang adalah orang buruan di tanah air sendiri?” Tanya Indie.
“Nampak gayanya macam itulah.” Balas Dyh sambil tersenyum sinis.
“Well, bring it on Guan! Kalau perang yang kau minta, itu yang akan aku berikan!” Ujar Jax teruja.
Jax, Indie, Dyh, Xavier dan Airis turut sama menonton melalui skrin di dataran. Saat lakaran wajah mereka disiarkan ada rasa yang terdetik di hati masing-masing. Kesal, geram, marah dan sedih bercampur baur. Namun apa yang pasti pengishtiharan perang yang diumumkan tadi tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka yang mahu memastikan Elipsie kembali gemilang seperti dahulu. Malah ini semua menambah lagi semangat mereka mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Guan dan orang-orangnya.
 “Kalian yakin, mereka akan bersama kita?” Tanya Indie tiba-tiba sambil pandangannya dihalakan ke arah orang ramai yang masih setia memenuhi dataran.
Mereka menala pandangan ke arah yang sama.
“Sejujurnya? Mungkin ada yang akan berpaling tadah. Aku yakin, Guan akan lakukan apa sahaja untuk beri tekanan kepada mereka agar tidak bersama kita lagi. Siapa yang tak tahan tekanan tu mungkin akan menyerah.” Balas Dyh.
Mereka mengangguk, tanda bersetuju dengan kata-kata Dyh.
“Tugas kita makin berat.” Ujar Airis perlahan namun masih mampu didengari oleh rakan-rakannya.
“Kalau kita terus bersama, aku yakin kita mampu harunginya.” Balas Indie.
“Hei, come on! We’ve been through worse than this. We can get through this!” Ujar Jax cuba menceriakan keadaan bila melihat rakan-rakannya bermuram. “Jom makan?” Ajak Jax.
Airis, Indie dan Dyh ketawa perlahan mendengar ajakan Jax. Hanya Xavier yang diam tanpa reaksi kerana Xavier memang selalu begitu.
“Kau ni Jax, makan saja yang kau ingat!”
“Weh, makanan itu sumber tenagalah. Tak ada tenaga macam mana nak kalahkan si Guan tu? Dahlah. Jom. Aku lapar!” Tukas Jax lalu melompat turun dari bangunan 15 tingkat itu diikuti Indie dan Dyh.
Airis bersedia untuk melakukan perkara yang sama namun langkahnya terhenti bila terdengar namanya diseru Xavier. Airis berpaling ke arah lelaki berhud hitam itu.
“Kau masih bersama kami?” Soal Xavier mendatar.
“Apa maksud kau?”
Xavier tersenyum sinis sambil berjalan mendekati Airis. Wajah Airis ditenung dalam-dalam. Sinar mata Airis masih sama seperti dahulu namun sejak kejadian di Stadium Emperor  seminggu yang lalu, ada sesuatu yang berubah tentang gadis ini. Dan perubahan itu sedikit sebanyak menganggu dirinya.
“Kau faham maksud aku, Airis.”
Dahi Airis berkerut. Demi Tuhan, lelaki ini semakin mengelirukan dirinya.
“Kau tak cakap, macam mana aku nak faham Vier!” Bentak Airis.
Xavier tersenyum segaris. Pandangannya dialihkan ke arah skrin di tengah dataran. Sekarang sesi soal jawab antara Gabenor Guan dan pihak Sentinel dengan pihak wartawan sedang berjalan. Senyuman di bibir Xavier mati sebaik sahaja tumpuan kamera kini beralih kepada salah seorang anggota penting Sentinel. Dada Xavier berombak. Perasaan marah kepada lelaki itu kembali menguasai dirinya. Luka di bahu kanan kesan tembakan dari baretta lelaki itu disentuh dengan tangan kirinya.
Airis yang ralit melihat tingkah Xavier turut memandang ke arah skrin sebaik sahaja dia melihat air muka lelaki itu berubah kelam. Nafasnya bagai mahu terhenti sebaik sahaja pandangannya jatuh ke wajah Kyrian yang terpampang di skrin.
There’ll be no second chance for him, Airis. Aku nak kau tahu perkara itu!” Beritahu Xavier tegas sebelum dia melompat turun ke bawah.
Airis terkedu mendengar kata-kata Xavier yang berbau amaran. Fahamlah dia akan maksud pertanyaan Xavier tadi. Tangan kanannya menyentuh luka di dada kirinya. Kesan ‘hutang’ antara dia dan Kyrian yang sudah dianggap langsai seminggu lalu diusap perlahan. Dadanya menjadi sebak tiba-tiba. Kenangan lamanya bersama Xavier kembali berputar di layar ingatan. Namun sebelum sempat kenangan itu mencuri ruang ke dalam hati, cepat-cepat dia mengusirnya jauh-jauh.
Airis memejamkan mata. Beberapa ketika kemudian dia membuka matanya perlahan. Iris matanya bertukar warna. Tanda rama-rama di pergelangan tangannya muncul di permukaan kulit. Matanya merenung wajah tenang Kyrian.
“I will find you. This is a promise.” Kata Kyrian melalui skrin televisyen.
Bagi penonton lain, kata-kata itu adalah janji seorang Sentinel yang mahu menjalankan tugasnya memburu anggota Butterfly X. Namun bagi Airis dia tahu itu adalah janji seorang Kyrian buat Riri.
Come and get me if you can, Kyrian. Tapi ingat, pertemuan kita selepas ini akan mempunyai kesudahan yang berbeza.” Ikrar Airis. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia yakin dengan keputusannya. Kyrian bukan lagi temannya. Kyrian bukan lagi penyelamatnya. Selagi Kyrian bersama Sentinel, dia akan menjadi musuh Airis. Musuh Butterfly X. Demi keluarganya yang terkorban dan tanah airnya yang tercinta, dia, Airis Levi akan terus bersama Butterfly X. Hanya maut yang akan mengubah semua itu.

TAMAT



2 comments:

pinkpurle amie Says:
19 July 2012 at 19:00

sambunggggggggg

Julia Esqa Says:
23 July 2012 at 14:52

erkk.. kenapakah cerpen ini tergantung??huhu.

Total Pageviews