Lagenda Bersayap - Bab 4
“Tuan Irm, bila kita akan menyerang kerajaan Pelangi? Tentera kita dah cukup terlatih untuk mengalahkan tentera Pelangi,” Aldean memandang Irm yang sedang menulis. Irm meneruskan menulis tanpa menghiraukan Aldean yang menanti jawapan darinya. Pintu bilik itu dibuka. Syaana masuk. Irm memandang Syaana. Begitu juga Aldean. “Identiti kita telah diketahui oleh kerajaan Pelangi. Kita hanya perlu menunggu mereka menyerang kita.” Syaana memandang Irm yang masih lagi menulis.
“Kenapa perlu menunggu mereka menyerang kita? Sekarang adalah peluang keemasan untuk kita membuktikan kepada mereka bahawa kita juga layak memerintah Dunia Bersayap dan menjadi penjaga kepada Pintu Dua Dunia!” Aldean bersuara dengan lantang. Irm berhenti menulis dan melipat surat yang telah siap ditulis. Setelah itu, surat itu dimasukkan ke dalam sampul. “Aldean, sila berikan kepada ‘dia’ sekiranya ‘dia’ kembali ke sini.” Aldean mengambil surat tersebut.
“Tuan Irm, saya perlu berkata sesuatu dengan tuan. Aldean, boleh tak tinggalkan kami berdua?” Syaana memandang Aldean. “Apa yang rahsia sangat sehinggakan saya, penasihat utama Tuan Irm tidak boleh mendengarnya?!” bentak Aldean. Sejak kehadiran Syaana, Irm lebih mendengar nasihat dari Syaana dari dia. Tak sedar diri punya manusia! Kata hati Aldean. “Syaana, katakan sahaja. Saya percayakan Aldean.” Irm bersuara. Dengan rasa berat hati Syaana bersuara, “Ray berada di kerajaan Pelangi.”
“Ray?” Aldean memandang Irm dan juga Syaana. “Raidiese Luca Ingram. Anak kepada Putera Lucadiese Ingram dan Puteri Syiira Edora. Umur dia memang panjang. Anak separa tak perlu berada di dunia kita. Kita perlu hapuskan anak separa itu bersama dengan kerajaan Pelangi.” Irm memandang Aldean. “Mengapa anak separa perlu dihapuskan?” Syaana memandang Irm. “Menurut legenda, anak separa mempunyai kuasa yang luar biasa. Ini disebabkan setiap yang bersayap disini mempunyai kuasa masing-masing dan gabungan dengan manusia akan menguatkan lagi kuasa itu. Disebabkan itu, Perwira yang menjumpai dunia bersayap ini tidak membenarkan sesiapa pun melepasi Pintu Dua Dunia. Jadi, anak separa perlu dihapuskan.” Aldean menerangkan. Syaana memandang ke luar tingkap. Dia dapat melihat tasik Umbra yang tenang. Aldean meminta diri untuk keluar dari bilik perbincangan itu.
Melihat Syaana yang merenung ke arah tasik, Irm bangun dan menghampiri Syaana. “Jangan risau. Kita pasti dapat membalas dendam terhadap keluarga Ingram terhadap apa yang dilakukan kepada keluarga Edora, Puteri Syaana Edora.” Irm memegang tangan Syaana dan menciumnya.
Tuanku Ingram mundar mandir. Baginda tidak suka apa yang diperkatakan oleh Leon mengenai Rai. “Beta tidak mahu anak separa berada dalam Istana Kristal ini! Hanya akan mengotorkan istana sahaja!” Tuanku Ingram melepaskan geramnya. “Tuanku, perkara kecil sahaja. Jika Tuanku tidak mahu dia berada di sini, kenapa tidak Tuanku menghapuskannya?” lelaki itu menjawab. Dia memandang Tuanku Ingram dengan penuh pengharapan. “Hapuskannya? Kalau la sangat mudah untuk menghapuskannya, sudah lama beta buat begitu. Dia dilindungi oleh orang yang menyayanginya. Dan sekarang ini, unicorn milik Luca juga telah menerimanya!”
“Benci sungguh Tuanku dengan budak itu. Budak itu dari darah daging Tuanku sendiri, anak Putera Luca yang sah. Tuanku, patik akan laksanakan segala perintah Tuanku. Patik menunggu sahaja arahan dari Tuanku. Bukankah Tuanku menggelarkan patik ‘Penghukum’?” lelaki itu tersenyum sinis. Tuanku Ingram menepuk bahu lelaki itu. “Kau akan ikut apa sahaja arahan beta kan?”
“Ya. Perjanjian kita begitu kan? Patik ikut arahan Tuanku dan batu permata kesayangan Tuanku, ‘daia’ akan menjadi milik patik apabila Tuanku mati nanti.” Lebar senyuman lelaki itu sehingga menampakkan giginya. “Memang dasar keturunan Gargouille!”
“Perjanjian tetap perjanjian, Tuanku. Selama ini pun, segala kerja kotor Tuanku, saya yang melakukannya kan termasuk pembunuhan keluarga..”
“Itu pun kau hampir gagal melakukannya. Sudah! Beta tidak mahu mendengar lagi mengenai perkara 20 tahun lalu itu..” Kamar perbincangan Tuanku Ingram diketuk. “Masuk!” Setelah mendengar keizinan dari Tuanku Ingram, Leon masuk ke kamar itu. “Eh?” Leon sedikit terkejut melihat lelaki yang bersama Tuanku Ingram. “Hai, Leon. Lama tidak berjumpa kan?” sapa lelaki itu kepada Leon. Tuanku Ingram membuat batuk kecil. “Patik akan ke rumah Jeneral Shin untuk mendengar keputusan Rai. Sekiranya Rai bersetuju, patik akan membawa Rai ke Istana Kristal malam ini.” Tuanku Ingram hanya menjeling. Pada masa yang sama, terlintas idea di fikiran Tuanku Ingram. Baginda tersenyum.
“Beta akan serapkan Ryan dalam pasukan kamu. Jadi, akan ada 6 orang dalam pasukan kamu. Ryan kamu tak ada masalah kan?” Tuanku Ingram memandang Ryan. “Perintah Tuanku, patik akur.” Ryan tersenyum. “Kamu ada sebarang masalah Leon?”
Leon agak terkejut. Selalunya Tuanku Ingram tidak akan mencampuri urusan pasukan elitnya. Tetapi kali ini, Tuanku Ingram sendiri memperkenalkan seseorang. “Sekiranya Ryan yang Tuanku pilih, patik tidak ada sebarang masalah.” Leon memandang Ryan. “Esok pagi, kamu dan pasukan kamu akan ke negara Sire dan berjumpa dengan Permaisuri Rhea. Sui juga perlu dibawa ke sana dan sertakan surat ini.” Tuanku Ingram menyerahkan sepucuk surat kepada Leon. “Beta beri masa 3 hari untuk jawapan dari Permaisuri Rhea.”
Rai duduk di buaian yang dibuat oleh Shin sewaktu dia dan Maya masih kecil. Tiba-tiba buaiannya itu bergerak. “Dulu kan abang selalu buai Maya. Sekarang, biarlah Maya buaikan abang pula,” Maya tersenyum dan terus menolak buaian itu perlahan-lahan. Rai terasa dirinya seperti kanak-kanak. “Abang minta maaf. Ayah dan ibu selalu memberi tumpuan kepada abang lebih dari Maya. Sedangkan abang bukanlah anak kandung ayah dan ibu. Seharusnya mereka membiarkan saja abang ni mati..”
“Abang ni memang tak tau bersyukur! Abang tau tak betapa sukarnya orang lain nak dapatkan belaian dari keluarga lain. Abang dah dapat kasih sayang dari ayah dan ibu lebih dari Maya sendiri. Apa lagi yang abang tak puas hati? Maya yang sepatutnya tak puas hati! Abang dapat apa yang Maya nak! Kasih sayang ayah dan ibu! Tapi Maya? Maya macamana? Ayah dan ibu sibuk melindungi abang dan membiarkan Maya bersendirian. Maya tau la abang dari keluarga Ingram, keluarga diraja. Tapi tak perlulah kan untuk membiarkan Maya bersendirian. Abang tak rasa macamana ertinya kesunyian!” Maya berlari masuk ke dalam rumahnya. Rai terdiam. Dia sedar Shin dan Mia selalu melindunginya ketika kanak-kanak lain mengejeknya. Dirinya teringat kembali peristiwa di mana dia baru masuk ke Pusat Latihan Unicorn. Pada waktu itu, dia berumur 8 tahun dan Maya berumur 6 tahun.
“Mak kita kata, kalau ada satu sayap ni dia dari keturunan yang tak boleh hidup disini,” kata seorang kanak-kanak yang berada di sebelah Rai. “Mak kita pun cakap macam tu. Tapi mak kita cakap satu sayap ni cacat. Jadi, dia ni cacatlah kan?” seorang lagi kanak-kanak menunjuk ke arah Rai. “SI CACAT!” jerit kanak-kanak yang disebelah Rai. Ketika itu, ibu kepada kanak-kanak yang menjerit itu datang. “Jangan kawan dengan dia. Nanti kamu tak ada sayap sebelah sebab dia nak ambil!” kata ibu kanak-kanak tersebut. Rai hanya mendiamkan diri. Dia memendamkan segala perasaan marahnya sehingga perasaan marahnya menguasai diri. Unicorn yang berada di situ bertempiaran seperti dapat merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku. Suasana di Pusat Latihan Unicorn menjadi kecoh kerana unicorn-unicorn lari bertempiaran.
Puting beliung tiba-tiba sahaja melanda dan bumbung di bangunan Pusat Latihan Unicorn tercabut. Semua yang berada disitu serta merta mencari tempat yang mereka boleh berpaut. Maya yang berada di sebelah abangnya tercampak ke pintu masuk ke bangunan Pusat Latihan Unicorn. Shin yang berada disitu segera mendapatkan Maya yang telah tercampak jauh dan Mia segera mendapatkan Rai yang telah dikuasai perasaan marahnya. Setelah itu, Rai tidak mengingati apa yang terjadi. Menurut Mia, selepas itu, Mia memeluknya dan Rai terus pengsan. Sejauh mana kebenarannya itu, Rai tidak dapat memastikannya. Memang benar dirinya dari keluarga Ingram, keluarga diraja yang merupakan pemerintah Kerajaan Pelangi dan juga penjaga Pintu Dua Dunia, tetapi, pada masa yang sama, dia juga baru mengetahui asal usul dirinya itu. Rai bangun dari buaian itu dan nekad untuk menyertai pasukan Leon. Dia berharap dapat mengetahui lebih lanjut mengenai dirinya itu.
Pada malam itu, Leon datang bersama seseorang. Shin agak terkejut melihat kedatangan lelaki yang bersama Leon. Lelaki yang bersama Leon itu terus memeluk Shin. “Tuan Shin! Sudah lama tak jumpa,” lelaki itu bersuara sebaik meleraikan pelukannya dari Shin. “Ryan! Kau semakin tegap sekarang ni berbanding dulu. Hahaha.” Shin menepuk belakang Ryan. Rai hanya memerhatikan gelagat Shin dan Ryan itu. “Ryan. Kenalkan. Ini Rai Luca. Rai, ini Ryan.” Shin menarik Rai dan perkenalkannya kepada Ryan. “Masuklah dulu kalau ye pun,” lembut suara Mia mencelah. “Puan Mia..” Ryan menghampiri Mia, memegang tangan kanan Mia dan menciumnya. “Perangai tak berubah sungguh! Sudah! Mari masuk ke dalam.” Shin menarik Ryan. Leon dan Rai berpandangan sesama sendiri dan tertawa melihat perangai Shin dan Ryan itu.
Shin dan Ryan rancak berbual mengenai kisah silam mereka bersama. “Nampaknya, Jeneral Shin memang lama tak jumpa Ryan.”
“Siapa Ryan tu?” Rai bertanya. Ingin tahu.
“Ryan tu dulu bekas pelajar Jeneral Shin sewaktu Ryan berada di dalam tentera. Ryan juga antara tentera terhebat pada waktu itu. Memang aku sendiri kagum bila mendengar kisah Ryan sewaktu berada dalam tentera dulu.” Leon memandang Ryan yang masih rancak berbual dengan Shin itu yang berada di anjung rumah. Sesekali ternampak mereka gelak dan ketawa. “Rai, adakah keputusan telah dicapai?” Leon mengalihkan pandangannya ke arah Rai. Ini adalah masanya. Dia sendiri telah nekad untuk mengikuti pasukan Leon untuk mengetahui mengenai dirinya. “Patik akan turut serta dalam pasukan Tuan Putera.” Rai bangun dan tunduk hormat kepada Leon. “Bagus! Esok kita akan ke Negara Sire. Pastikan kau dapat rehat yang cukup malam ini. Esok aku akan bawa sekali unicorn untuk kau. Bawa barang yang perlu sahaja buat masa ini. Rai, kau tak akan menyesal dengan keputusan kau ini?” Leon memandang Rai. Inginkan kepastian. Dia tidak mahu Rai berputus asa di tengah jalan.
“Tidak. Seperti yang Leon kata, kali ini, saya akan buktikan pada mereka yang memandang rendah pada saya dan buktikan kepada mereka bahawa saya juga boleh menjadi seorang yang hebat!” begitulah jawapan Rai kepada Leon.
1 comments:
15 July 2013 at 11:05
nak lgi...
bezz...hheehe
Post a Comment