Followers

Novel : King of Criscendo (Bab 3)

| Wednesday, 29 August 2012 | |

by: Virtual Writer

Bab 3

Hijiri mengukir senyuman apabila melihat seorang lelaki pertengahan usia yang sedang sibuk mengangkut kotak-kotak berisi buah-buahan masuk ke dalam sebuah gerai. Dia tahu sekarang ialah musim pokok-pokok menghasilkan buah-buahan. Benar seperti kata orang, kalau kita berbakti pada tanah, tanah pasti akan berbakti kepada kita juga. Dan buah-buahan segar yang dijual selalunya akan mendapat hasil pulangan yang amat lumayan.

“Ahh Hijiri.” Lelaki itu mengangkat tangan apabila terpandangnya berdiri terpacak merenung mereka. “Boleh tolong tak? Kami akan bayar upah.”

Hijiri mengangguk lalu menghampirinya. Dengan tenaganya yang kuat dan usia yang masih muda, sekejap sahaja kerjanya dapat diselesaikan.

“Bagusnya jadi muda.” Hijiri dapat mengesan nada suara cemburu dari suara lelaki tua itu. Dia sekadar tersenyum dan mengambil tempat di sebelah lelaki itu yang sudah berehat sejak sepuluh minit lalu. Tidak lama kemudian, isteri lelaki itu yang tampaknya hanya beberapa tahun lebih muda daripadanya datang menatang sedulang air buah-buahan. Hijiri mengucapkan terima kasih dengan hormat.

“Kamu ni memang sopan. Bagusnya kalau mak cik ada anak macam kamu.” Wanita itu berkata sambil mengurut-ngurut belakang tangannya.

“Jodohkan saja anak kita, Melissa dengan dia kalau suka sangat.” Kali ini suaminya pula menyampuk sambil cuba melihat sebarang perubahan di wajah Hijiri namun gagal. Wajah Hijiri langsung tidak berubah riak, sekadar seulas senyuman terukir di bibirnya.

“Tak perlulah. Saya rasa Melissa pun dah ada orang yang dia suka.” Hijiri membalas dengan nada suara yang merendah. Dia terpandang anak gadis keluarga itu yang bernama Melissa sedang mencuri dengar perbualan mereka dengan wajah yang malu-malu. Dia dan Melissa bukanlah serapat yang disangkakan namun kadang kala saja mereka akan bertegur sapa jika bertemu di Bandar atau di perpustakaan.

“Ayah kamu macam mana? Masih mabuk-mabuk lagi?” Lelaki itu menyoal cuba menyentuh soalan yang lebih bersifat peribadi.

“Dia semakin baik, pak cik.” Jawab Hijiri sambil meneguk air yang dihidangkan.

“Kamu dah dengar pasal serangan di kampung Npolua di daerah Vinem semalam?”

Hijiri menggeleng. “Serangan oleh lima lelaki berkuda tu lagikah?”

“Mereka menutup muka jadi tak pasti mereka lelaki atau perempuan. Mungkin juga perempuan yang melakukannya. Zaman sekarang ni pun jangan pandang rendah pada perempuan.”

Hijiri tergelak kecil. “Kenapa agaknya mereka menyerang kampung-kampung di Vinem?”

Lelaki tua itu mengangkat bahu tanda tidak tahu. “Dah lama Negara kita ni aman damai. Pak cik dengar raja Nowaru memang berhubungan baik dengan Negara-negara jiran dan baginda juga mengambil berat dengan kebajikan daerah-daerah lain juga. Jadi tak ada sebabnya perlu ada pemberontak dalam kerajaan Criscendo. Memanglah takkan ada Negara yang sempurna seperti Utopia. Semua tu cuma wujud dalam cerita dongeng saja dan kita sebagai rakyat pun tak boleh nak mengharapkan kesempurnaan seratus peratus. Asalkan ada toleransi antara kerajaan dengan penduduk pun dah cukup.”

“Pak cik memang berfikiran ringkas. Kalaulah semua orang berfikir yang sama macam pak cik, aman dunia kita ni.” Ujar Hijiri.

“Pak cik dah tua. Apa yang penting, pak cik dapat makan minum, berteduh di rumah ni dan tahu keselamatan pakcik dan keluarga terjamin.”

“Mungkinkah ada orang berdendam dengan kerajaan atas sesuatu sebab?” Tanya Hijiri lagi sambil matanya menatap tepat ke anak mata lelaki tua di hadapannya itu.

“Mungkin juga. Hijiri, kamu masih muda. Jangan buat perkara yang sia-sia dan hiduplah ikut cara kamu sendiri.”

Lima belas minit kemudian, Hijiri mengucapkan terima kasih sambil berjanji akan datang membantu di kedai itu untuk menjual buah-buahan sebagai pekerja sambilan. Dia juga dijanjikan upah yang agak lumayan. Dia dan Melissa mengucapkan selamat tinggal dan kedua-duanya berjalan beriringan menuju ke perpustakaan.

“Ayah aku bercakap banyak lagi?” Melissa menyoal. Dia membiarkan rambut panjang kemerahannya itu dibuai-buai ditip angin. Mata birunya yang besar dan bibirnya yang kemerahan itu membuatkan Melissa kelihatan seperti anak patung yang cantik walaupun dia tidaklah berpakaian cantik.

“Tak apa. Aku suka berbual dengan dia.” Balas Hijiri tersenyum.

“Kau memang baik, Hijiri.” Melissa tersenyum namun dibalas oleh satu senyuman yang penuh rahsia dari Hijiri. “Kenapa kau selalu pergi perpustakaan?”

“Aku suka membaca. Ayah aku selalu suruh aku menuntut ilmu supaya aku tak ketinggalan dan ditindas jadi salah satu caranya ialah aku perlu ke perpustakaan.” Balas Hijiri.

“Kau tak ke sekolah kan? Kau belajar membaca sendiri?”

Hijiri mengangguk. “Ayah aku juga ada mengajar aku. Kau pulak? Untuk seorang perempuan, kau memang seorang yang bijak.”

Melissa mengerlingnya. “Jadi maksud kau perempuan bukan orang yang bijakkah?”

Hijiri tersenyum meminta maaf. “Bukan tu maksud aku. Aku nampak dalam masyarakat kita, perempuan dibesarkan untuk menjadi seorang isteri. Dilatih sejak kecil untuk menguruskan rumah dan menjaga anak-anak. Jarang perempuan pergi ke sekolah dan bersungguh-sungguh belajar macam kau ni. Mungkin anak-anak orang berada adalah.”

Melissa menghentikan langkahnya dan merenung lelaki di sebelahnya itu. “Sebab aku juga sama macam kau. Aku tak mahu ditindas dan aku tak mahu dipandang rendah oleh orang lain terutamanya oleh lelaki.”

Hijiri ketawa. “Aku tak pernah pandang rendah pada kau.”

“Aku tahu sebab kau memang baik orangnya. Biar aku beritahu kau satu rahsia, Hijiri.”

“Apa dia?” Hijiri merendahkan badannya membolehkan gadis itu berbisik di telinganya.

“Aku nak jadi seorang pegawai kerajaan. Aku nak berkhidmat dengan Criscendo.” Melissa berbisik dengan hati-hati.

Untuk seketika wajah Hijiri berubah. Dia tidak pernah menyangka gadis genit itu mempunyai cita-cita yang begitu besar namun sekelip mata dia dapat mengawal raut wajahnya semula. Hijiri tersenyum. “Baguslah. Manalah tahu kau boleh masuk ke istana dan berjumpa dengan putera Criscendo dan buat dia jatuh hati dengan kau.”

Wajah Melissa merona merah. “Merepek! Aku tak pernah tahu tentang putera yang misteri tu. Dia macam lebih kurang sebaya dengan kita tapi aku tak pernah tengok dia keluar ke tempat awam. Rasanya kalau dia datang ke sini pun, mesti kita tak kenal.”

“Aku dengar dia hebat orangnya.”

Melissa mengangkat bahu tanda tidak peduli. Ternyata topik perbualan tentang putera itu tidak begitu menarik perhatiannya. Dia memang berbeza dengan gadis-gadis lain yang seusia dengannya.  Pandangan matanya mula beralih kepada orang ramai yang semakin sibuk di Bandar.

Bandar itu akan mengadakan sambutan keraian dua malam lagi dan kelihatan orang ramai telah mula menghias jalan-jalan dan kedai-kedai masing-masing. Pihak istana telah memberi peruntukan wang untuk sebarang sambutan kebudayaan dan wakil kerajaan akan datang dan memeriahkan acara-acara itu. Namun yang paling dinanti-nantikan pastilah acara tari menari yang akan diadakan di pusat Bandar pada malam keraian itu. Melissa mengerling seketika ke arah Hijiri seraya menarik nafas panjang mengumpul kekuatan dalaman.

“Emm Hijiri… kau akan datangkah ke majlis keraian nanti?” Melissa menyoal malu-malu.

Hijiri menggaru pipinya yang tidak gatal. “Tak tahulah. Mungkin aku akan duduk di rumah saja dengan ayahku. Dia tak suka tempat yang ramai orang.”

Melissa tampak kecewa. “Jadi kau takkan datang kah?”

“Tengoklah dulu macam mana.”

Melissa mengetap bibirnya. Mahu diajak lelaki itu ke majlis tari menari itu, dia malu. Dia mula menyumpah Hijiri yang seperti tidak memahami maksud pertanyaannya. Mereka berjalan laju menuju ke perpustakaan yang terletak beberapa puluh meter sahaja itu.

*********
Guren terduduk lesu di atas katil dalam kamarnya setelah penat beradu tenaga dengan sepupunya sejak pagi tadi. Apatah lagi sikap Hyden yang sangat menyakitkan hati itu menambahkan rasa penatnya. Ditambah pula dengan guru-gurunya yang memainkan peranan sebagai pengampu tidak bertauliah itu semakin membebankan jiwa. Jika diikutkan hati, dia mahu menyuruh mereka memberitahu ayahandanya  yang rekodnya selama ini tersangatlah buruk. Dia tidak layak langsung hendak berlawan dengan sesiapa.

“Macam mana aku nak buat ni…?” Dia mengeluh sendiri.

Pintu kamar diketuk dan masuklah seorang wanita pertengahan usia yang kelihatan tertunduk-tunduk memandangnya. “Tu..tuan putera. Patik datang nak ambil pakaian tidur tuanku.”

Guren merenung wanita itu dan berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Guren tersenyum. “Kenapa tunduk-tunduk begitu? Awak kan pengasuh saya sejak kecil. Tak perlulah bercakap dengan saya begitu, Rwena.”

Rwena masih tertunduk. Dia telah diberi amaran oleh penasihat diraja supaya menghormati putera Guren meskipun dia yang mengasuh putera itu sejak kecil.

“Rwena…” Guren memanggil.

“Ya tuan..”

“Saya nak keluar dari sini.”

Rwena mengangkat kepalanya memandang anak muda itu dengan wajah yang terkejut. “Apa maksud putera?”

Guren masih membuat wajah yang selamba. “Saya bukan anak yang taat. Saya juga bukan putera yang gagah seperti yang ayahanda saya harapkan. Apa yang saya mahukan hanyalah kebebasan.”

Rwena berjalan perlahan-lahan menghampiri Guren dan duduk disampingnya. Dia mengusap-ngusap kepala lelaki itu seperti mengusap kepala anaknya sendiri. Sememangnya dia menyayangi Guren seperti darah dagingnya apatah lagi dia telah menjaga putera itu sejak 17 tahun lalu.

“Puteraku, dua malam lagi di daerah Dante, satu majlis keraian akan diadakan dan patik juga akan ke sana. Jika tuanku sudi, datanglah ke majlis keraian itu bersama patik. Walaupun ianya bukanlah satu kebebasan abadi, tapi sekurang-kurangnya tuanku dapat keluar sebentar dan melihat sendiri rakyat Negara tuanku di daerah lain.”

“Dante?” Guren seperti mahu berteriak. Dia tidak pernah langsung keluar dari Vinem apatah lagi bertemu dengan orang lain. Guren mula tersenyum lebar.

-bersambung-

0 comments:

Total Pageviews