Followers

Bentara Pawaka : Bab 3

| Sunday, 26 May 2013 | |

Bab 3
               
Ombak yang deras kini beransur perlahan. Angin ganas kini mula menjadi tenang. Titisan hujan mula reda mengakhiri ribut malam. Embun pagi mula terlihat, basah tanah masih belum tersejat, kokokan ayam jantan baru saja terdengar namun sudah terlihat gerak geri manusia yang keluar mencari rezeki di awal pagi.
 Mentari baru sahaja naik sejengkal namun penduduk Pulau Melati Utama sudah lama keluar mencari rezeki. Ada yang keluar membawa cangkul. Ada yang pergi membawa bakul. Ada yang bangun membuka gerai, ada yang tiba membuka gudang. Masing-masing dengan cara hidup sendiri mencari rezeki sepanjang hari.
Namun lain pula ceritanya di Rumah Agam Jata Melati, kediaman pemerintah Jata Melati serta pusat pentadbiran Kepulauan Melati. Bunga disiram, kuda diberi makan, lantai dilap dan habuk disapu oleh para dayang. Di dapur pula, suasana bising dengan hiruk-pikuk para tukang masak. Bunyi pisau memotong sayur, bunyi kuali diketuk dan pelbagai lagiuntuk santapan pagi seluruh penghuni rumah agam tersebut. Tidak kurang juga tugas ketua dayang yang memeriksa dan memastikan semua urusan harian rumah itu berjalan lancar.
Seorang lelaki berjalan melintasi ruang utama rumah agam tersebut.Jelas kelihatan kewibawaan lelaki itu daripada penampilannya walaupun sedikit aneh. Ini kerana pakaiannya tidak seperti budaya Mergastua tetapi seperti bangsawan dari tamadun Barat. Tidak lama kemudian seorang lelaki seusia dengannya menghampiri lelaki itu lalu menyamakan rentak langkahnya.
Menyedari akan kehadiran seseorang dibelakangnya, lelaki itu lalu berkata, “Bagaimana dengan urusan dagang dengan Jata Teratai?”
“Sepertimana yang telah mereka utuskan. Dagang mereka telah pun meninggalkan Pulau Melati dengan dagangan kita. Dagang itu telahpun dibayar separuh dan separuh lagi kita akan terima dengan senjata  yang telah kita tempah setelah rombongan itu kembali.”
“Rombongan pengiring pula?”
“Tiga bahtera dan lima lancar penuh dengan hulubalang dan penembak istinggar. Tidak lupa juga sepuluh buah lela dan lima puluh rentaka penuh dengan peluru dan belerang sedia untuk melindungi dagangan kita. ”
“Kalau begitu bagaimana pula dengan Jata Melati? Siapa yang melindungi dinding jata ini”
“Kita masih lagi ada empat ratus orang hulubalang kota, siap dengan senjata, seratus orang pendekar berkuda dan empat puluh lela mengelilingi dinding kota. Lima puluh lancar dan lima bahtera penuh dengan awak-awak dan nakhodanya di pelabuhan sedia untuk digerakkan.”
“Bagus, bagaimana pula dengan utusan ke Jata Mawar pula?”
“Mereka tidak mampu membantu kita.”
“Jata Kenanga pula?”
“Begitu juga ceritanya.”
Langkahnya terhenti, Demang Wijaya menolehkan pandangannya kepada Bentara Utamanya itu. Dia merenung lama sebelum berkata, “Bagaimana pula dengan utusan kepada Jata lain? Ada yang sudi membantu?”
“Tiada berita yang bagus dari mereka”
“Bagaimana pula dengan Jata Melur? Apa perkembangan mereka?”, tanya Demang itu dengan nada yang lebih tegas.
“Bahkan lebih teruk dari yang sebelumnya”, jawab menteri itu dengan pahit sekali.
Demang Wijaya mengeluh. “Pagi ini begitu pahit rasanya, hanya berita buruk yang mendatang.”
“Ah, baru saya teringat. Semalam ada utusan daripada Jata Bunga Raya sudah selamat sampai ke sini, dengan persetujuan perikatan antara jata.”
“Mengapa tidak kau katakan dari tadi.”
“Kejutan”
Demang Wijaya terpegun buat seketika. Dia juga turut tersenyum sambil membalas, “Boleh saja kau bergurau diwaktu begini”
“Tidak enak jika suasana pagi dicemar dengan keluhan bukan, Wijaya?”
“Walaupun sudah beruban, sikapmu itu masih belum berubah juga, Merah”,balasnya sambil melangkah semula.
“Namun begitu jangan sampai terlupa urusan Melati”
“Ya, tidak sebegitu mudah untuk melupakan hal Jata ini”
“Bukan itu, maksud saya Melati yang satu lagi”
“Melati? Anak saudaraku itu? Kenapa dengan dia?”
“Dia keluar pagi ini, berkuda”.Kali ini Demang Wijaya terpegun lebih lama.
“Keluar berkuda? Adakah mungkin? Hari ini?”
“Ya, sepertimana yang  difikirkan”.
......
Kakinya melakar corak di sepanjang jejaknya itu. Meninggalkan bekas pada pasir sebelum hilang dipukul ombak. Pantai itu menegur dirinya dengan bayu yang lembut dan sejuk. Perlahan dia menggerakkan kakinya sambil membasahinya. Tangannya pula dengan lembut menarik kudanya dari belakang.
Langkahnya terhenti, dia lalu menghadap laut di hadapannya. Kudanya dilepaskan dibiar berjalan ke sana ke mari. Dia kemudiannya melihat jauh ke hadapan seolah-olah menanti sesuatu dari seberang laut sana. Nafasnya lalu ditarik sedalam yang mungkin sebelum dilepaskan kembali dengan kata-kata. “Ayah. Abang Nadim. Ke mana kalian menghilang. Ke mana janji kalian”.
Suasana sunyi seketika. Hanya bunyi ombak memukul pantai dan suara angin saja yang kedengaran. Tiada jawapan. Dia tahu tiada yang akan menjawabnya. Dia hanya mahu melepaskan segala kekecewaannya. Dia mengeluh. Matanya perlahan mengeluarkan air mata. Dia terduduk sambil menutupi mukanya. Bunyi rintihannya sayu-sayu kedengaran diselang-seli dengan bunyi alam.
Tiba-tiba kudanya mendengus kuat. Gadis itu tersentak dengan suara itu. Dia menoleh ke arahnya. Kelihatan seorang lelaki tersadai tidak jauh dari tempat dia berada. Dia segera meluru ke arah lelaki itu. Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh gadis tersebut melainkan untuk memeriksa keadaan lelaki itu. Badannya sejuk namun masih hangat bernyawa. Lelaki itu pula dalam keadaan separuh sedar.
“Kamu tidak apa-apa? Bersabarlah, aku akan membantumu”,katanya namun sebelum sempat gadis itu mencari bantuan. Tangannya direntap oleh pemuda itu. Gadis itu terkejut namun apa yang lebih mengejutkan ialah kata-kata lelaki itu.
“Melati, bawa daku kepada Melati”,kata lelaki itu dengan nafas yang terputus-putus. Lelaki itu kemudiannya kembali pengsan. Gadis itu pula diam tanpa kata-kata.

2 comments:

eija Says:
26 May 2013 at 13:11

cian melati...tp sapa laki 2...

Unknown Says:
20 June 2013 at 21:51

Kalau nak tau kenalah teruskan membaca.

Total Pageviews