Bab 3
Ombak yang deras kini beransur
perlahan. Angin ganas kini mula menjadi tenang. Titisan hujan mula reda
mengakhiri ribut malam. Embun pagi mula terlihat, basah tanah masih belum
tersejat, kokokan ayam jantan baru saja terdengar namun sudah terlihat gerak
geri manusia yang keluar mencari rezeki di awal pagi.
Mentari baru sahaja naik sejengkal namun
penduduk Pulau Melati Utama sudah lama keluar mencari rezeki. Ada yang keluar
membawa cangkul. Ada yang pergi membawa bakul. Ada yang bangun membuka gerai,
ada yang tiba membuka gudang. Masing-masing dengan cara hidup sendiri mencari
rezeki sepanjang hari.
Namun lain pula ceritanya di
Rumah Agam Jata Melati, kediaman pemerintah Jata Melati serta pusat pentadbiran
Kepulauan Melati. Bunga disiram, kuda diberi makan, lantai dilap dan habuk
disapu oleh para dayang. Di dapur pula, suasana bising dengan hiruk-pikuk para
tukang masak. Bunyi pisau memotong sayur, bunyi kuali diketuk dan pelbagai lagiuntuk
santapan pagi seluruh penghuni rumah agam tersebut. Tidak kurang juga tugas
ketua dayang yang memeriksa dan memastikan semua urusan harian rumah itu
berjalan lancar.
Seorang lelaki berjalan melintasi
ruang utama rumah agam tersebut.Jelas kelihatan kewibawaan lelaki itu daripada
penampilannya walaupun sedikit aneh. Ini kerana pakaiannya tidak seperti budaya
Mergastua tetapi seperti bangsawan dari tamadun Barat. Tidak lama kemudian
seorang lelaki seusia dengannya menghampiri lelaki itu lalu menyamakan rentak
langkahnya.
Menyedari akan kehadiran
seseorang dibelakangnya, lelaki itu lalu berkata, “Bagaimana dengan urusan
dagang dengan Jata Teratai?”
“Sepertimana yang telah mereka
utuskan. Dagang mereka telah pun meninggalkan Pulau Melati dengan dagangan
kita. Dagang itu telahpun dibayar separuh dan separuh lagi kita akan terima
dengan senjata yang telah kita tempah
setelah rombongan itu kembali.”
“Rombongan pengiring pula?”
“Tiga bahtera dan lima lancar
penuh dengan hulubalang dan penembak istinggar. Tidak lupa juga sepuluh buah
lela dan lima puluh rentaka penuh dengan peluru dan belerang sedia untuk
melindungi dagangan kita. ”
“Kalau begitu bagaimana pula
dengan Jata Melati? Siapa yang melindungi dinding jata ini”
“Kita masih lagi ada empat ratus
orang hulubalang kota, siap dengan senjata, seratus orang pendekar berkuda dan
empat puluh lela mengelilingi dinding kota. Lima puluh lancar dan lima bahtera
penuh dengan awak-awak dan nakhodanya di pelabuhan sedia untuk digerakkan.”
“Bagus, bagaimana pula dengan
utusan ke Jata Mawar pula?”
“Mereka tidak mampu membantu
kita.”
“Jata Kenanga pula?”
“Begitu juga ceritanya.”
Langkahnya terhenti, Demang
Wijaya menolehkan pandangannya kepada Bentara Utamanya itu. Dia merenung lama
sebelum berkata, “Bagaimana pula dengan utusan kepada Jata lain? Ada yang sudi
membantu?”
“Tiada berita yang bagus dari
mereka”
“Bagaimana pula dengan Jata
Melur? Apa perkembangan mereka?”, tanya Demang itu dengan nada yang lebih
tegas.
“Bahkan lebih teruk dari yang
sebelumnya”, jawab menteri itu dengan pahit sekali.
Demang Wijaya mengeluh. “Pagi ini
begitu pahit rasanya, hanya berita buruk yang mendatang.”
“Ah, baru saya teringat. Semalam
ada utusan daripada Jata Bunga Raya sudah selamat sampai ke sini, dengan
persetujuan perikatan antara jata.”
“Mengapa tidak kau katakan dari
tadi.”
“Kejutan”
Demang Wijaya terpegun buat
seketika. Dia juga turut tersenyum sambil membalas, “Boleh saja kau bergurau
diwaktu begini”
“Tidak enak jika suasana pagi
dicemar dengan keluhan bukan, Wijaya?”
“Walaupun sudah beruban, sikapmu
itu masih belum berubah juga, Merah”,balasnya sambil melangkah semula.
“Namun begitu jangan sampai
terlupa urusan Melati”
“Ya, tidak sebegitu mudah untuk
melupakan hal Jata ini”
“Bukan itu, maksud saya Melati
yang satu lagi”
“Melati? Anak saudaraku itu?
Kenapa dengan dia?”
“Dia keluar pagi ini, berkuda”.Kali
ini Demang Wijaya terpegun lebih lama.
“Keluar berkuda? Adakah mungkin?
Hari ini?”
“Ya, sepertimana yang difikirkan”.
......
Kakinya melakar corak di
sepanjang jejaknya itu. Meninggalkan bekas pada pasir sebelum hilang dipukul
ombak. Pantai itu menegur dirinya dengan bayu yang lembut dan sejuk. Perlahan
dia menggerakkan kakinya sambil membasahinya. Tangannya pula dengan lembut
menarik kudanya dari belakang.
Langkahnya terhenti, dia lalu
menghadap laut di hadapannya. Kudanya dilepaskan dibiar berjalan ke sana ke
mari. Dia kemudiannya melihat jauh ke hadapan seolah-olah menanti sesuatu dari
seberang laut sana. Nafasnya lalu ditarik sedalam yang mungkin sebelum
dilepaskan kembali dengan kata-kata. “Ayah. Abang Nadim. Ke mana kalian
menghilang. Ke mana janji kalian”.
Suasana sunyi seketika. Hanya
bunyi ombak memukul pantai dan suara angin saja yang kedengaran. Tiada jawapan.
Dia tahu tiada yang akan menjawabnya. Dia hanya mahu melepaskan segala
kekecewaannya. Dia mengeluh. Matanya perlahan mengeluarkan air mata. Dia
terduduk sambil menutupi mukanya. Bunyi rintihannya sayu-sayu kedengaran
diselang-seli dengan bunyi alam.
Tiba-tiba kudanya mendengus kuat.
Gadis itu tersentak dengan suara itu. Dia menoleh ke arahnya. Kelihatan seorang
lelaki tersadai tidak jauh dari tempat dia berada. Dia segera meluru ke arah
lelaki itu. Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh gadis tersebut melainkan
untuk memeriksa keadaan lelaki itu. Badannya sejuk namun masih hangat bernyawa.
Lelaki itu pula dalam keadaan separuh sedar.
“Kamu tidak apa-apa? Bersabarlah,
aku akan membantumu”,katanya namun sebelum sempat gadis itu mencari bantuan.
Tangannya direntap oleh pemuda itu. Gadis itu terkejut namun apa yang lebih
mengejutkan ialah kata-kata lelaki itu.
“Melati, bawa daku kepada Melati”,kata
lelaki itu dengan nafas yang terputus-putus. Lelaki itu kemudiannya kembali
pengsan. Gadis itu pula diam tanpa kata-kata.
…